Seramai enam rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kerana dipercayai cuba menyeludup masuk dadah bernilai RM2.1 juta ke negara itu, lapor media tempatan semalam.

Kesemua rakyat Malaysia berusia 18 dan 28 tahun itu tiba di lapangan terbang tersebut pada Rabu.

Menurut laporan The South China Morning Post (SCMP) yang memetik sumber berkata, pemeriksaan yang dilakukan pihak kastam di lapangan terbang itu menemui lebih lapar kilogram dadah ketamin yang dibalut pada tubuh pada empat daripada enam lelaki terbabit.

Berdasarkan sumber, kebanyakan dadah yang diseludup ke negara ini melalui Tanah Besar dan menambah kesemua suspek mungkin beranggapan mereka tidak akan diperiksa secara rapi oleh pihak berkuasa lapangan terbang memandangkan mereka menyertai kumpulan pelancong.

Malah, kesemua suspek belum lagi didakwa atas kesalahan itu.

Tambah SCMP, tangkapan sebelum ini melibatkan rakyat Malaysia berkaitan penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dilakukan pada 10 tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai perkara itu dan berkata pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada pasukan Polis Hong Kong.

"Kita mengetahui mengenai perkara itu dan telah berhubung dengan pasukan Polis Hong Kong untuk mendapatkan maklumat terperinci.

"Untuk makluman, tangkapan itu dilakukan oleh pihak kastam dan bukannya polis. Oleh itu, PDRM perlu mendapatkan maklumat dari rakan kita (polis) di negara tersebut," katanya.