Enam termasuk calon SPM ditahan berlumba haram

Enam termasuk calon SPM ditahan berlumba haram
Mereka kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Gambar hiasan
BUTTERWORTH: Polis menahan enam lelaki, termasuk seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerana sedang berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi samseng jalanan oleh pasukan Khas Skuad 42 bermula pukul 10 malam tadi hingga 4 pagi ini, enam lelaki berusia 17 hingga 21 tahun ditahan kerana berlumba haram di situ.

"Selain calon SPM, tiga lagi yang ditahan ialah pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta manakala dua lagi lelaki ialah pekerja kilang. Mereka menjadikan lebuh raya itu sebagai lokasi untuk berlumba haram," katanya di sini hari ini.
Katanya semasa operasi itu, pasukan khas berkenaan membuat intipan serta pemantauan di BORR dan mendapati enam lelaki terbabit berlumba haram serta menunggang motosikal secara melulu.

"Mereka juga melakukan aksi menunduk badan, zig-zag, meniarap atas motosikal dan ia bukan sahaja sangat berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Noorzainy berkata semua mereka kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, katanya dalam Op Mabuk di Jalan Ong Yi How, di sini pukul 1 pagi ini, polis menahan seorang lelaki berusia 46 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Lelaki yang bekerja sendiri itu dipercayai baru balik dari sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan dan ujian mendapati kadar alkohol di dalam badannya tinggi," katanya dan menambah lelaki yang negatif dadah itu disiasat menurut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata polis akan menjalankan operasi sedemikian dari semasa ke semasa dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dalam daerah SPU dan tindakan tegas serta proaktif akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan berkenaan.

-- BERNAMA

Tag: lumba haram, calon SPM, rempit, berlumba, polis, butterworth


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.