Enam termasuk lima sekeluarga maut selepas pacuan empat roda dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan lain di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) berhampiran Jelatang, Alor Gajah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 9.40 malam itu, enam mangsa yang menaiki kenderaan Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A. Asmadi Abd Aziz berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah treler tanpa muatan, tetapi pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berpunca apabila pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dari arah Simpang Empat ke Bandaraya Melaka yang dinaiki seorang lelaki dan anak perempuannya terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

BACA: Ibu tidak sangka telatah anak petanda mereka akan pergi buat selamanya


Lelaki berkenaan disahkan maut manakala anak perempuannya mengalami kecederaan parah.

Kejadian itu mengakibatkan kenderaan mereka melanggar bahagian hadapan treler sebelum bertembung pula dengan kenderaan dinaiki lima beranak termasuk dua pelajar sekolah yang berada di sebelah treler berkenaan.

Mengulas lanjut, katanya, kedua-dua pacuan empat roda (4WD) berkenaan remuk dan mangsa yang tersepit dibawa keluar dengan bantuan pasukan bomba.

Kesemua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat, manakala mangsa yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Buat masa ini pihak polis masih belum dapat mengenal pasti identiti kesemua mangsa sementara menunggu pengesahan daripada wakil keluarga.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.