Tutup

Enggan teruskan hubungan sulit, wanita warga Indonesia ditikam

Enggan teruskan hubungan sulit, wanita warga Indonesia ditikam
Semasa mangsa menghampiri parkir masjid, suspek bertindak menikam mangsa di bahagian dada, kemudian minum racun dan menikam diri sendiri. - Foto PDRM
PETALING JAYA: Seorang wanita warga Indonesia, Asmaul Chasanah, 28 tahun, ditemukan mati ditikam di parkir Masjid Al-Husna, Sungai Way, di sini, lewat malam tadi.

Kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa enggan meneruskan hubungan dengan suspek, juga rakan senegaranya, yang menurut polis baru mengenali mangsa selama dua bulan. 

Ketua Polis Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati suspek telah membelanjakan sejumlah wang untuk hubungan intim mereka.

"Namun, sejak kebelakangan ini, suspek tidak mampu membelanjakan wang yang diminta mangsa, membuatkan mangsa tidak mahu meneruskan hubungan, mencetus kemarahan suspek.
"Semasa mangsa menghampiri parkir Masjid Al-Husna, suspek bertindak menikam mangsa di bahagian dada, kemudian minum racun dan menikam diri sendiri.

"Dia cuba membunuh diri tetapi gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada Jumaat jam 10.18 malam.
Polis menahan lelaki itu di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya pada jam 1.50 pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.