Tutup

Entopia lancar bangunan baharu dan tembok hijau

Entopia lancar bangunan baharu dan tembok hijau
Bangunan Entopia dianugerahkan sijil Malaysia Book of Records pada 28 Mac menerusi bangunannya yang memiliki dinding hijau terbesar di Malaysia. --fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Entopia, dahulu dikenali sebagai Taman Rama-rama, di Teluk Bahang, dekat sini hari ini melancarkan bangunan baharu dan "tembok hijau" mengandungi sejumlah 88,868 kelongsong tumbuhan meliputi 22 spesies tumbuh-tumbuhan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Joseph Goh berkata tanaman melingkar yang berfungsi sebagai tembok hijau meliputi keluasan 22,217 kaki persegi bertujuan melindungi keseluruhan bangunan daripada cahaya matahari dan membantu menyejukkan bangunan sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga.
"Tumbuh-tumbuhan juga membantu mengurangkan kesan karbon pada planet dan menyediakan kualiti estetik kepada permukaan bangunan.

"Apa yang lebih menarik ialah sebahagian daripada "tembok hijau" itu berfungsi sebagai sistem penapisan biologi kepada kolam-kolam utama dalam Entopia," kata beliau dalam ucapannya pada majlis pelancaran oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
Goh berkata "tembok hijau" Entopia itu juga adalah satu daripada yang terbesar di Asia Tenggara dan hari ini, ia bakal mencatatkan rekod bagi tembok hijau terbesar di Malaysia.

"Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Book of Records atas masa dan usaha dalam memberi pengiktirafan kepada kami," katanya.

-- BERNAMA