Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Episod kesusahan, keperitan hidup rakyat bukan sesuatu yang baharu

Episod kesusahan, keperitan hidup rakyat bukan sesuatu yang baharu
Sebilangan besar rakyat tidak akan sewenang-wenangnya berkunjung ke pajak gadai, kalau bukan kerana dihimpit masalah kewangan yang serius. - Gambar hiasan
SELEPAS beberapa hari pelaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), terdapat banyak situasi keperitan rakyat mendapat perhatian media.

Antara beberapa situasi yang mendapat liputan adalah bilangan rakyat beratur panjang di kedai pajak gadai dan individu yang mencagarkan telefon untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Episod kesusahan dan keperitan hidup rakyat bukanlah sesuatu yang baharu.

Isu kos sara hidup telah bertahun didendangkan sebelum kedatangan COVID-19.
Kedatangan COVID-19 telah memberi mesej lagi jelas dan terang berkenaan kedudukan ekonomi kebanyakkan rakyat di luar sana.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) telahpun diumumkan oleh kerajaan.
Sektor-sektor ekonomi pasca PKP telah pun dibuka walaupun kadar penyertaan belum mencapai tahap 100 peratus.

Salah satu fokus penting di dalam PRIHATIN adalah memulihkan dan merancakkan semula ekonomi melalui bantuan tunai kepada rakyat. Bagaimana untuk memaksimakan impak bantuan tunai ini?

Analisis penulis menunjukkan perbelanjaan rakyat kepada produk makanan (pertanian dan pemprosesan makanan) hanya menjana gaji rakyat secara langsung dan tak langsung sebanyak 8.1 peratus sahaja.

Sebaliknya, 91.9 peratus gaji rakyat yang diperolehi daripada pasaran buruh dijana oleh perbelanjaan ke atas produk bukan makanan (termasuk perkhidmatan). Berdasarkan fakta ini, terdapat dua implikasi.

Pertama, pembukaan keseluruhan sektor ekonomi amat penting bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat terjamin.

Rakyat tidak boleh mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan kerana ianya bersifat sementara dan tidak mencukupi. Di samping itu, kerajaan juga mempunyai ruang fiskal yang terhad.

Kedua, prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang digubal perlu lah mudah dan mengambil kira kekangan pihak perniagaan.

Di samping itu, ketakutan melampau (jika wujud) dalam kalangan rakyat juga perlu diberi perhatian.

Apa yang paling penting di sini adalah memudahkan urusan perniagaan dan pekerjaan tanpa mengabaikan aspek kesihatan.

Sejauh mana tahap ekonomi negara dan taraf hidup rakyat dapat dipulihkan bergantung kepada berapa cepat sektor-sektor ekonomi kembali beroperasi semula.


* Prof. Madya. Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia.



Tag: Kolumnis AWANI, COVID19, kos sara hidup, kedudukan ekonomi, bantuan kerajaan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.