Ahli perniagaan yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low perlu bertanggungjawab atas pembelian kapal persiaran mewah, Equanimity, sekiranya ia dibeli menggunakan dana haram.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas Jho Low jika kapal mewah berkenaan dimiliki secara tidak sah.

“Siapa yang pernah melakukan kesalahan, kuasa undang-undang harus mengambil tindakan ke atasnya, itu pendirian saya.

“Seperti yang saya katakan, kami tidak terlibat dengan mana-mana proses pembelian kapal itu, saya tidak akan ubah pendirian saya,” katanya ketika ketika ditemui media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu mengulas kenyataan Jho Low bahawa tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyita kapal layar Equanimity yang mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak sah.

Jho Low mendakwa bahawa tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai ‘merampas’ prosiding undang-undang negara lain serta menyelar kenyataan kerajaan yang mahu menjual kapal mewah itu secepat mungkin bagi mengelak penyusutan nilai.

Sementara itu, Najib turut menegaskan, sekiranya Jho Low memperoleh Equanimity secara haram menggunakan dana yang bukan miliknya, ahli perniagaan itu perlu bertanggungjawab.

“Selagi ia dilakukan di sebalik kedaulatan undang-undang, jika kapal layar itu diperoleh secara tidak sah dan salah guna, dia boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.