Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Erdogan hubungi Muhyiddin, sentuh peranan besar Malaysia

Erdogan hubungi Muhyiddin, sentuh peranan besar Malaysia
Kedua-dua pemimpin menumpukan perbincangan berkenaan kerjasama kedua-dua negara dalam menangani ancaman semasa dan pasca wabak tersebut. - Gambar fail Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani ancaman wabak COVID-19 dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Perbualan telefon selama 30 minit itu menyaksikan kedua-dua pemimpin menumpukan perbincangan berkenaan kerjasama kedua-dua negara dalam menangani ancaman semasa dan pasca wabak tersebut.
“Kami sepakat Malaysia dan Turki harus memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam memerangi pandemik tersebut. Dalam hal ini, Malaysia sedia bekerjasama dalam membangunkan vaksin dan ubat-ubatan berkaitan COVID-19.

“Saya juga berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani COVID-19, antaranya perlaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu yang menyaksikan jumlah jangkitan dan kematian semakin menurun manakala kadar pemulihan kini melebihi 80 peratus.
“Selain itu, kami turut berbincang mengenai langkah-langkah memperkasa hubungan dua hala sedia ada dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan tinggi, perubatan dan teknologi pertahanan,” katanya menerusi muat naik status di Facebook pada Jumaat.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan rasa simpati dan solidariti Malaysia atas bilangan kes dan jumlah kematian yang tinggi akibat COVID-19 yang direkodkan di Turki.

Muhyiddin berkata menerusi perbualan itu, Erdogan turut membangkitkan tentang peranan besar Malaysia dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Turki menyeru agar Malaysia terus aktif dipersada antarabangsa, antaranya menolak sekeras-kerasnya tindakan unilateral oleh Israel ke atas Palestin termasuk merampas tanah-tanah milik rakyat Palestin.

“Saya mengulangi komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai objektif yang sama iaitu, menyokong rakyat Palestin untuk bebas dari penjajahan Israel dan merealisasikan aspirasi sebuah negara Palestin yang bebas,” ujarnya.

Mengakhiri perbualan itu, kedua-dua pemimpin bersepakat supaya semua inisiatif kerjasama dua hala harus disambung semula sebaik pandemik COVID-19 berakhir.

 
Sumber Facebook ts.muhyiddin


Tag: Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri, Turki, koronavirus, Erdogan, COVID19



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.