Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sedang meneliti beberapa model baharu ‘estet padi’ seperti yang dilaksanakan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, selain FELCRA, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga telah mempunyai 10 golongan muda yang telah menjayakan konsep penyatuan tanah tersebut.

"Jadi telah ada model-model yang telah menampakkan kejayaan. Jadi, kita sekarang ini sedang menyiapkan model itu supaya ia dapat memberikan satu pulangan yang benar-benar dapat meningkatkan pendapatan petani kita.

"Ini kerana tanah-tanah yang kecil ini diusahakan oleh petani-petani tua yang telah lanjut usia. Jadi kita akan menggamit orang-orang muda untuk masuk sektor ini," katanya pada sidang media, di sini pada Rabu.

Mengulas berkenaan jangkaan hasil daripada pelaksanaan projek ini, beliau percaya, estet padi bukan sahaja bakal meningkatkan hasil, malah ia juga akan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) melibatkan keselamatan makanan di negara ini.

"Kita menjangkakan dalam tempoh lima tahun, kita dapat meningkatkan lagi lima peratus SSL kita. Sakarang ini 70 peratus, jadi kita nak meningkatkan lima yang mana ia amat praktikal.

"Kemudiannya, apabila kita dapat tingkatkan SLL, jangan lupa kita juga kena tingkatkan pendapatan petani kita," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) Jabatan Perikanan Malaysia.

Sehubungan itu, Salahuddin berharap, menjelang pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini, peruntukan sewajarnya dapat diberi kepada MOA untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan golongan pesawah dan nelayan pantai berjaya keluar dari kelompok B40.