TEGURAN Azrul terhadap YB Nurul Izzah telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Azrul dikecam di media sosial dan malangnya nama Bernama turut terbabit.

Justeru Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio, Azlan Idris mengeluarkan kenyataan mengenai etika pemakaian Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Nurul Izzah Anwar yang disifatkannya sebagai mengikuti etika pemakaian dan cukup sopan.

Katanya, beliau dihujani dengan pelbagai reaksi lantaran daripada teguran yang diberikan oleh seorang pemanggil yang menamakan diri beliau sebagai Azrul pada ketika YB Nurul Izzah Anwar ditemu bual secara langsung oleh Pengacara tersohor, Faizal Ismail dan Fara Fauzana pada 22 Mei 2018 lalu menerusi program FBI LIVE.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai teguran oleh saudara Azrul, namun jika beliau merujuk kepada siaran temu bual langsung di Bernama Radio atau berjumpa dengan YB Nurul Izzah selepas itu di Bernama pada 16 Mei 2018, jelas saudara Azrul mempunyai pemikiran serta imaginasi yang sangat liar.

"Untuk pengetahuan semua, sesi temu bual langsung bersama YB Nurul Izzah Anwar dikendalikan oleh saya sendiri dengan dibantu oleh Amar Yusof dan anda boleh melihat etika pemakaian YB Nurul Izzah Anwar pada sesi siaran tersebut yang cukup sopan sebagaimana umum mengenali beliau.

"Saya percaya, kita sebagai manusia dewasa boleh menilai etika pemakaian yang sopan berbanding imaginasi liar, dakwaan serta ungkapan oleh saudara Azrul," katanya menerusi Facebook.


Terdahulu, Azrul membuat panggilan menerusi program FBI LIVE dan menegur Nurul Izzah mengenai pemakainan tudungnya.

Namun Nurul Izzah tidak cepat melatah, sebaliknya kelihatan tenang dan mengangguk-angguk tanda memahami teguran Azrul.