Etiqa dengan kerjasama ROSE Foundation hari ini menganjurkan Program Saringan Serviks di Lawas, Sarawak.

Program Khidmat Masyarakat (CSR) ini dianjurkan bagi membolehkan golongan wanita kategori B40 dan kurang berkemampuan menjalani saringan ini secara percuma malah menggunakan inovasi terkini.

Inovasi saringan yang dinamakan HPV DNA ini merupakan pendekatan terbaharu yang turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Life Insurance Berhad, Paul Low Hong Ceong, program ini dianjurkan supaya dapat membantu komuniti khususnya golongan wanita yang menetap di kawasan pedalaman.

“Untuk ujian saringan serviks ini, kami membawa teknologi ini kepada komuniti dengan lebih dekat supaya mereka boleh melakukan ujian saringan dan sekiranya ada sebarang masalah, kami akan menasihatkan mereka di mana untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Tambahnya penganjuran program seperti ini amat penting dalam mendatangkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjalani pemeriksaan kesihatan tubuh badan.

Sarawak merupakan lokasi kedua penganjuran program ini selepas SMK Pandan Mewah, Selangor pada Julai lalu.

Untuk edisi tahun ini, pihak Etiqa menyasarkan penglibatan 6,000 wanita secara keseluruhannya di seluruh negara.

“Sebelum ini kaedah ujian Pap Smear digunakan untuk mengesan kewujudan kanser serviks namun dengan teknologi HPV ini, ia menggunakan inovasi terbaharu. Bagi ujian Pap Smear, anda perlu lakukan ujian sekali dalam tiga tahun namun dengan HPV anda hanya perlu lakukan ujian sekali dalam sepuluh tahun,” tambahnya lagi.

Selepas saringan secara percuma dilakukan, hasil kepada ujian saringan akan dikeluarkan dalam masa dua minggu.

Bagi wanita yang dijangkiti virus dan kemudiannya memiliki sel pra-kanser, mereka boleh dapatkan rawatan mencegah kanser serviks.

Rawatan pula boleh dijalankan secara percuma di Klinik Kesihatan terpilih seluruh negara.