PERKHIDMATAN menggunakan pelbagai bentuk pengangkutan termasuk van, motosikal, menunggang kuda dan mendayung sampan.

Itu antara inisiatif yang dilakukan Pos Malaysia, menjangkaui pelusuk negara hanya untuk menghubungkan rakyat.

Ikuti temu bual eksklusif Astro AWANI bersama Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sempena Hari Pos Sedunia yang disambut pada 9 Oktober setiap tahun.

Permulaan industri pos di Malaysia sejak tahun 1800

Jika berbicara mengenai setem, penghantaran barangan dan bayaran bil-bil utiliti, pasti pejabat pos, terlintas dalam fikiran kita.

Sedar tidak sedar, sebenarnya sudah lebih 200 tahun industri pos berkembang pesat di negara ini.

Organisasi ini mula beroperasi seawal tahun 1800 di Tanah Melayu, iaitu sejak pemerintahan British.

Pos Malaysia pada 1984
Sempena Hari Pos Sedunia hari ini, kita mengimbas kembali operasi di Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kuala Lumpur pada tarikh 19 Jun 1984. Kelihatan para pekerja sedang mengasingkan surat kepada setiap bahagian yang akan dihantar ke seluruh negeri. - Foto BERNAMA

"Perkhidmatan pos ini mungkin kedua tertua selepas perkhidmatan polis di negara ini. Selepas merdeka, perkhidmatan pos jadikan sebagai jabatan kerajaan iaitu jabatan pos negara.

“Ia berfungsi untuk menyampaikan khidmat perkhidmatan pos dan menghantar surat-surat rakyat ke seluruh negara,” jelas Ketua Bahagian Kawal Selia Pos Malaysia Berhad, Mohammad Hanizal Abdul Hamid.


Ketua Bahagian Kawal Selia Pos Malaysia Berhad, Mohammad Hanizal Abdul Hamid menceritakan mengenai sejarah penubuhan Pos Malaysia.

Pada awal tahun 1990-an, Pos Malaysia menjadi sebuah entiti swasta.

Pos Malaysia juga telah melalui beberapa siri transformasi dan penstrukturan baharu dengan pembinaan lebih 700 pejabat pos dan 68 pusat pos laju di seluruh negara.

Ini menunjukkan Pos Malaysia kini menjadi satu sistem komunikasi yang lebih progresif, tambah Mohamad Hanizal.


Inisiatif Pos Malaysia dan SKMM bagi membantu masyarakat luar bandar
Peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam industri pos

SKMM merupakan badan kawal selia bagi perkhidmatan pos dalam negara ini sejak tahun 2002.

Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang SKMM, Mohd Zaidi Abdul Karim berkata sebagai sebuah badan penguatkuasa SKMM telah diberi peranan lebih besar untuk memastikan sistem perkhidmatan pos di Malaysia dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarat dengan harga yang berpatutan.

"SKMM berperanan untuk melesenkan syarikat-syarikat kurier di Malaysia ketika ini. Di Malaysia sahaja, kita mempunyai kira-kira 90 syarikat kurier keseluruhannya," jelas Zaidi.

Ketua Bahagian Pos dan E-Dagang SKMM, Mohd Zaidi Abdul Karim menjelaskan Peranan SKMM membantu Pos Malaysia dalam cabaran E-Dagang ketika ini.


'Dron' sebagai alternatif proses penghantaran

Sejajar dengan kemajuan yang dikecapi di negara ini, Pos Malaysia bakal menggunakan perkhidmatan 'dron' sebagai alternatif proses penghantaran terutama dalam industri E-dagang yang semakin pesat ketika ini.

Menurut Mohd Zaidi, perkhidmatan itu mungkin bakal digunakan pada lima atau 10 tahun akan datang

"Kita lihat negara-negara maju di seluruh dunia telah mula atau mencuba penghantaran cara baru dengan menggunakan dron.

"Jadi di Malaysia, kita juga menyifatkan perkara itu mungkin sesuai digunakan ... mungkin tidak sekarang mungkin lima atau 10 tahun yang akan datang untuk dikomersilkan," kata Mohd Zaidi.

Adakah perkhidmatan dron bakal diaplikasikan dalam industri pos dan kurier Malaysia?
Pengalaman dikejar anjing itu perkara biasa

Ketika wawancara ini diadakan di Pusat Mel Nasional Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Astro AWANI juga berkesempatan untuk menemu bual dua pegawai Pos Malaysia yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri kurier ini.

Pegawai Unit Pengagihan Penghantaran Posmen, Amiruddin Othman, 54, yang berpengalaman selama 33 tahun dalam industri pos dan kurier ini menceritakan bagaimana beliau sering dikejar anjing ketika melakukan penghantaran surat.

"Dulu saya bekerja di bahagian serahan dan selalu juga dikejar anjing. Kalau dengan anjing ini kita tidak boleh lari. Kalau lari, lagi dia kejar," katanya berseloroh.


Pegawai Unit Pengagihan Penghantaran Posmen, Amiruddin Othman, 54, yang mudah dikenali sebagai Abang Amir, menceritakan pengalaman mereka selama 33 tahun dalam
industri pos dan kurier ini

Pegawai Unit Manual Pengagihan Surat Pusat Mel Nasional, Noor Rahayu Shahran, 36, turut berkongsi pengalamannya selama 19 tahun yang suatu ketika dahulu didominasi oleh kaum lelaki.

"Pengalaman yang paling mencabar adalah ketika saya bekerja di Kompleks Pejabat Pos di Daya Bumi, Kuala Lumpur di mana saya bekerja bersama 11 orang lelaki dan seorang lagi rakan sekerja wanita (posnita).

"Kebanyakkan kerja adalah memerlukan kita untuk mengangkat dulang yang tidak semua wanita mampu untuk meangkat tujuh hingga lapan dulang sekali gus. Kami perlu mengangkat karung yang beratnya kira-kira 30 kilogram.

Pegawai Unit Manual Pengagihan Surat Pusat Mel Nasional, Noor Rahayu Shahran menceritakan cabarannya sebagai seorang posnita

Evolusi seiring teknologi

Menurut Hanizal, pihaknya sedar bahawa perkembangan semasa banyak mempengaruhi perkhidmatan pos di negara ini.

Namun jelasnya inovasi dan transformasi perlu dilakukan secara berterusan seiring dengan perkembangan teknologi untuk menjadi industri pos relevan dengan kehendak semasa dan permintaan rakyat.

Hanizal turut mengakui bahawa peratusan penghantaran surat dewasa ini mengalami kemorosotan gara-gara perkembangan teknologi komunikasi Internet.
"Ini adalah fakta dan merupakan satu tren yang berlaku di seluruh dunia. Tidak ramai yang menghantar surat kerana terdapatnya perkhidmatan emel sebagai contoh," katanya.

Menyedari kemerosotan peratusan penghantaran surat, Pos Malaysia telah melakukan pelbagai inisiatif
untuk kekal 'hidup' dan terus memberi perkhidmatan kepada pengguna.

"Industri E-dagang berkembang begitu pesat sekali, bukan sahaja dalam negara namun di seluruh dunia. Pos Malaysia menyedari peningkatan industri ini, justeru di sini terletaknnya peluang Pos Malaysia kerana barangan-barangan yang dihantar melalui E-dagang ini, masih dihantar oleh syarikat kurier dan pos.

Hari Pos Sedunia disambut pada setiap 9 Oktober oleh pentadbiran pos di seluruh dunia termasuk di Malaysia bagi memperingati tertubuhnya Kesatuan Pos Sedunia pada 1874 di ibu kota Bern, Switzerland.