Menteri Besar Selangor Amirudin Shari telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han membuat kajian terperinci berkenaan papan tanda supaya wujud satu polisi yang jelas untuk memartabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau menambah, isu itu timbul berikutan pelaksanaan papan tanda tidak mendapat pelepasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika Mesyuarat Kerajaan Negeri dijalankan pada 2017, dan beliau mengambil sikap tidak mahu menuding jari siapa yang patut dipersalahkan.

"Saya sudah menyemak isu ini, dan perkara itu (pelaksanaan papan tanda) tidak pernah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sepatutnya perlu melepasi DBP dahulu sebelum diluluskan kerajaan negeri. Isu ini timbul pun di kawasan majoriti Cina dan saya tidak mahu fokus siapa yang patut dipersalahkan.

"Jadi saya telah mengarahkan Exco Kerajaan Tempatan (Sze Han) untuk membuat kajian terperinci supaya satu polisi yang jelas dan seragam dapat direncanakan dalam usaha memartabat bahasa kebangsaan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah satu blok pangsapuri kos sederhana dekat sini pada Rabu.

Beliau turut mengumumkan melalui pembentangan Bajet Negeri Selangor pada Jumaat ini bahawa satu rangka berkaitan pembiayaan perumahan dengan pakej 'hampir sempurna' adalah untuk memudahkan rakyat memilik rumah mampu milik melalui projek Rumah Selangorku 2.0.

"Kerajaan negeri dengan kerjasama Menteri Besar Diperbadankan (MBI) akan mengumumkan dalam Bajet Negeri Selangor berkaitan satu rangka kaedah pembiayaan perumahan bagi rakyat melalui projek Rumah Selangorku 2.0."

Kita harap dengan inisiatif ini dapat memudahkan rakyat membeli rumah mampu milik berikutan harga tanah dan rumah yang sangat mahal di kawasan bandar di negeri ini, dan juga menangani masalah mereka untuk mendapatkan pendahuluan perumahan sebanyak 10 peratus," katanya.

Berkaitan projek pangsapuri itu, ia adalah kesinambungan daripada sebahagian rancangan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 2004 untuk memajukan tanah di kawasan sekitar Mukim Batu, Daerah Gombak bagi menempatkan semula penduduk asal yang mendiami setinggan rumah panjang di tapak projek itu.

Menurutnya, blok pangsapuri kos sederhana yang akan dibina berhadapan dengan Pangsapuri Permai itu akan turut dilengkapi pelbagai fasiliti untuk bakal pemilik.

Beliau berkata Projek Fasa 2A ini akan membabitkan pembinaan 340 unit pangsapuri 10 tingkat yang terbahagi kepada tiga blok dan sebanyak 120 unit dijangka akan mula dibina dalam masa terdekat termasuk surau, dewan serbaguna dan tadika.

-- BERNAMA