Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latiff Bandi , 51, bersama seorang perunding hartanah, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membabitkan rasuah berkaitan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta.

Tertuduh bersama Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, bagaimanapun tidak mengaku bersalah bagi kesemua 33 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi projek Eco Botanic Pulai.

Amir pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif untuk melakukan transaksi yang sebenarnya dengan badan awam, iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Kesemua kesalahan menerima suapan itu berlaku antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di sebuah bank di cawangan Larkin Perdana, Johor Bahru.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Masri Mohd Daud dan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Nasruddin.

Abd Latiff diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan tujuh lagi peguam, manakala Amir diwakili peguam Azrul Z Stork.

Amir dibawa ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini oleh anggota SPRM. - Bernama

Terdahulu, pendakwa menawarkan jaminan berjumlah RM5 juta, bersama seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, bagi setiap tertuduh.

Namun, peguam tertuduh memohon kepada mahkamah supaya jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM1 juta berikutan kesemua akaun tertuduh telah dibekukan dan hanya bergantung kepada ihsan keluarga dan kenalan.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2 juta, bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes perbicaraan selesai.

Abd Latiff didakwa mengikut Seksyen 28(1c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(b) dan Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana mana yang lebih tinggi.

Sementara Amir didakwa di bawah Seksyen 16(a) b akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara tak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana mana yang lebih tinggi.

Hakim menetapkan untuk sebutan semula kes pada 23 Mei.

Abd Latiff dan Amir tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kira-kira 9.20 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Abd Latiff bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu susulan siasatan terhadap skandal rasuah hartanah di Johor sebelum ditahan SPRM pada 9 Mac lalu bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mac lepas, Abdul Latiff ditahan reman selama tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM RM200,000.

SPRM menerusi kenyataannya sebelum ini memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM serta Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.