Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengakalan Batu, Norhizam Hassan Baktee tampil menjelaskan mengenai klip video beliau memarahi penduduk kampung berhubung isu penutupan jalan yang tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani berkata, beliau berada di Taman Akasia untuk menyelesaikan masalah penutupan dua jalan alternatif di kawasan berkenaan dan bersalaman dengan penduduk di situ apabila tiba-tiba didatangi sekumpulan orang yang menyerang beliau dengan soalan-soalan panas.

Pengerusi DAP Melaka itu menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku sebelum insiden beliau memarahi penduduk kampung itu dirakamkan.

“Ia tidak menjadi masalah pada saya untuk menjawab soalan-soalan berkenaan lantaran saya adalah wakil rakyat kawasan berkenaan dan perlu bersedia berhadapan dengan situasi tidak diduga seperti ini.

“Apa yang tersebar dilaman sosial menerusi video berkenaan adalah secebis darinya yang mana ada beberapa bahagian lebih-lebih lagi fakta sebenar berhubung penutupan jalan berkenaan tidak disebarkan.

"Yang disebarkan hanyalah sisi buruk saya, sisi saya mendengar atau memuji, menyokong atau membantu penduduk kampung tidak pula disebarkan, tidak mengapa,” katanya dalam satu kenyataan.


Di dalam video tersebut, Norhizam dilihat meninggikan suara terhadap seorang warga emas yang bertanyakan undang-undang yang dipakai oleh pihak berkuasa untuk menutup jalan.

Beliau turut menjelaskan bahawa jalan itu sejak Selasa lepas ditutup untuk laluan awam bagi memudahkan kerja-kerja infrastruktur dan mendalamkan sungai bersebelahan kampung Pulau Nibong dan Taman Akasia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Norhizam berkata, beliau berkhidmat untuk semua masyarakat DUN Pengkalan Batu tanpa mengira apa juga parti politik dan beliau kecewa apabila ada yang menuduhnya bersandiwara dan bermain politik dalam penyelesaian kemelut ini.