MALAYSIA
Exco Pulau Pinang direman lima hari bantu siasatan kilang haram

Boon Poh ditahan SPRM kira kira jam 3.35 petang Jumaat selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang. - Foto Astro AWANI
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat perintah reman selama lima hari terhadap exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh, 66, bagi membantu siasatan berhubung isu kilang memproses serbuk kayu haram yang didakwa mencemarkan alam sekitar di Kampung Sungai Lembu, Pulau Pinang.
Perintah tahanan reman bermula 12 Ogos 2017 hingga 16 Ogos itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret George Town, Ameera Mastura Khamis tengahari tadi.
Turut direman ialah dua anak Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang itu yang merupakan pengurus dan pengarah syarikat kilang haram tersebut.
Boon Poh diwakili peguam R.S.N Rayer dan Ram Karpal Singh sementara pengarah dan pengurus kilang itu diwakili Dev Kumaraendran.
Manakala SPRM diwakili Timbalan Pendakwaraya SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.
Terdahulu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu dan dua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret George Town kira kira jam 10.10 pagi diiringi pegawai SPRM.
Boon Poh ditahan SPRM kira kira jam 3.35 petang Jumaat selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Dalam pada itu, SPRM turut merampas dokumen-dokumen berkaitan di pejabat Boon Poh di bangunan KOMTAR dan di rumahnya di Sungai Puyu.
Penahanan Booh Poh dibuat selepas SPRM menyerbu Pejabat Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai ( MPSP) dan kilang haram yang memproses serbuk kayu terbabit pada Khamis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami