Berita palsu menjadi antara ancaman utama dalam ekosistem komunikasi digital di seluruh dunia.

Kebanyakan berita palsu disebar menggunakan pelbagai platform media sosial dan ia telah memberikan banyak kesan buruk kepada pelbagai pihak.

Terbaharu, platform media sosial dengan jumlah pengguna paling ramai di dunia, Facebook meningkatkan usaha dalam memerangi penyebaran berita palsu melalui platformnya.

Facebook menerusi kenyataan medianya mengumumkan program pemeriksaan fakta pihak ketiga di Malaysia dengan kerjasama Agence France Presse (AFP).

"AFP dipilih kerana mereka telah diperakui oleh Rangkaian Pengesahan Fakta Antarabangsa, Poynter Institute.

"Program ini bertujuan mengurangkan penyebaran maklumat palsu dalam talian dan membantu membina komuniti bermaklumat di Malaysia," jelas kenyataan berkenaan.

Dengan kerjasama ini, AFP menjadi pihak ketiga yang membantu Facebook dalam mengkaji semula serta menilai ketepatan cerita dan maklumat yang dikongsikan di Facebook termasuklah penyebaran gambar dan video.

Pengurus Rakan Strategik Facebook Malaysia, Alice Budisatrijo berkata, kerjasama ini membolehkan Facebook menjadi platform yang selamat dan pengguna mendapat pengalaman positif dalam talian.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membina komuniti bermaklumat dan menyokong usaha celik digital di Malaysia," katanya.

Dalam masa sama, Astro AWANI turut membawakan liputan mengenai laporan berita palsu yang turut dikongsi kepada kami.

Anda boleh juga merujuk kepada polisi pembetulan Astro AWANI di platform digital berhubung laporan berita palsu yang disebarkan di platform media sosial kami.

Facebook turut berkongsi cara mereka menentusahkan sebarang laporan berita palsu

Pengguna juga boleh membuat laporan dan menyemak laporan berita palsu yang dikongsi di Facebook