Tutup

Fahami konsep wasatiyyah, pupuk kebersamaan antara kaum

Fahami konsep wasatiyyah, pupuk kebersamaan antara kaum
MOHD YUSUF: Jika kita ingin mencapai TN50 tetapi masyarakat bersikap tegar dan tiada semangat tolak ansur, kita perlu mengetengahkan satu konsep yang adil dan baik untuk semua orang. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia kita perlu memahami konsep wasatiyyah sebagai satu kaedah bagi memupuk kebersamaan dan keharmonian dalam negara.

Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (ISW), Datuk Mohd Yusuf Din berkata, umat Islam perlu mengamalkan konsep 4K dalam memahami dan mengamalkan konsep wasatiyyah dalam kehidupan.

"Kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

"Jika seseorang itu hanya bersemangat mengamalkan ajaran agama tetapi tidak berlandaskan ilmu, niat yang baik itu boleh tersasar," jelas beliau.
Katanya, dasar 4K ini juga telah dipersetujui oleh Kabinet.

"Bagi kami, sudah sampai masanya untuk mengetengah satu konsep supaya masyarakat kita yang penuh dengan kepelbagaian, dapat hidup bersama secara harmoni," kata beliau ketika ditemui Astro AWANI.
Beliau turut mengumumkan mengenai Seminar Fiqh At-Ta'ayush yang bakal diadakan 5 dan 6 Mac depan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia terbuka untuk dihadiri oleh kedua-dua umat Islam dan bukan Islam bagi membentuk persefahaman dan keterbukaan antara dua golongan tersebut.

"Jika kita ingin mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50) tetapi masyarakat bersikap tegar dan tiada semangat tolak ansur, kita perlu mengetengahkan satu konsep yang adil dan baik untuk semua orang.

"Dalam kita menuju TN50 dan melahirkan ramai belia yang serba boleh dalam pelbagai bidang, pendekatan wasatiyyah perlu diterapkan," tambah beliau.