Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, tiada usul tidak percaya yang akan dibuat terhadap Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Kongres Nasional PKR 2019.

Menurut beliau, setakat ini, semua usul yang dibawa dari peringkat cabang dan sayap telah dihanyar ke peringkat jawatankuasa dan tiada sebarang permintaan untuk usul tidak percaya.

“Mekanisme untuk menghantar atau mengangkat satu usul untuk dibahas atau dibincang pada kongres adalah melalui Mesyuarat Agung Tahunan cabang dan sayap.

"Pada bulan Ogos hingga Oktober lepas semua kit laporan mesyuarat mereka telah dihantar ke pusat, dah proses dan sefahaman saya tak ada usul itu (usul tidak percaya)," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Isnin.

BACA: Tidak perlu perdamaian, saya jumpa semua pemimpin - Anwar


Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa sekumpulan pemimpin daripada sayap PKR yang mahu mengadakan usul tidak percaya terhadap presiden mereka susulan pemecatan beberapa ahli parti itu baru baru ini.

Dua ahli yang keahlian mereka dipecat Lembaga Disiplin ialah Ketua Cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid, dan ahli PKR negeri pahang Ismail Dulhadi.

Keputusan dibuat selepas mesyuarat bulanan PKR mendapati kedua duda mereka terlibat dalam kes rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.