Faktor gaji, pangkat bukan sebab kaum Cina kurang dalam PDRM

Faktor gaji, pangkat bukan sebab kaum Cina kurang dalam PDRM
Program Menggalakkan Kaum Cina Menyertai PDRM dan pengambilan anggota PDRM di bangunan MCA, Kuala Lumpur. --AstroAWANI
KUALA LUMPUR: Pemuda MCA menafikan faktor gaji atau pangkat menyebabkan kurangnya penglibatan kaum cina yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebaliknya Timbalan Pengerusi Pemuda MCA, Chris Lee Ching Yong menyifatkan, perkara itu hanya spekulasi yang dicipta sesetengah pihak.

"Pelbagai persepsi diutarakan khususnya bahawa gaji tidak mencukup, ada yang kata imej tidak baik, ada yang kata tiada peluang kenaikan pangkat, saya rasa itu tuduhan tidak berasas yang dimainkan parti politik tidak bertanggungjawab untuk mendapat sokongan," ujarnya.

"Ketua Polis Negara sendiri mengatakan pengambilan itu tidak melibatkan kuota lepas tu promosi itu berasaskan kebolehan," katanya semasa ditemui pada Program Menggalakkan Kaum Cina Menyertai PDRM dan pengambilan anggota PDRM di bangunan MCA, Kuala Lumpur.
Beliau juga menafikan gaji yang ditawarkan PDRM adalah kurang menarik dan menyebabkan belia kalangan kaum Cina tidak berminat dengan kerjaya dalam pasukan keselamatan berkenaan.

"Kalau jawatan konstabel gaji lebih kurang RM1700 kalau campur elaun jadi kalau banding gaji minimum RM900 lagi rendah sekarang," tambahnya.

Jelas beliau, belia kaum Cina kurang diberikan pendedahan lanjut mengenai peranan dan tugas sebenar badan beruniform itu.

"Kita juga ada beritahu Ketua Polis Negara bahawa kempen harus diteruskan setiap tahun kalau tidak kita sukar untuk libatkan kaum Cina,"

"Kalau kamu tanya kalangan mereka, apa peranan polis? Mereka tidak dapat memberi jawapan yang komprehensif. Mungkin mereka hanya tahu polis jaga trafik, atau tangkap penjenayah tapi sebenarnya polis banyak jabatan," tegasnya lagi.   

Menurut Chris, MCA sentiasa meneruskan kempen bagi menggalakkan belia kaum Cina untuk menyertai PDRM.

"Saya sudah buat perbezaan kaum India mencatatkan 3.3 peratus, kaum cina 1.77 peratus (penglibatan). Kalau nak jadi seimbang mesti galakkan kaum Cina masuk pasukan polis,"

"Pembangunan bukan satu kaum saja. Ia mesti semua libatkan semua kaum. Kita mesti push the level,"katanya.

PDRM mensasarkan 5,000 anggota dan pegawai keturunan Cina untuk menyertai pasukan itu secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, bermula tahun ini.

Kerajaan sebelum ini juga melonggarkan syarat kelayakan jawatan konstabel melalui pengambilan khas termasuk pemohon hanya perlu lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.