Faktor 'ubah' dan sokongan kuat golongan muda Cina terhadap Pakatan Rakyat (PR) merupakan faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mei lalu.

Menurut kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), kemenangan Pas pada parlimen tersebut didorong oleh sokongan padu masyarakat Cina terhadap parti itu dimana 60 peratus pengundi Cina memberikan undi mereka kepada parti itu.

Namun, apa yang pelik, Pengarah UMCEDEL Prof Datuk Dr Redzuan Othman memberitahu bahawa meskipun pengundi Cina di situ menyokong PR, tetapi 65% daripada mereka masih mahu bekas ahli parlimen Temerloh, Datuk Saiffuddin Abdullah terus membawa perubahan di kawasan itu.

Jelasnya, ini kerana pengundi-pengundi warga tua di Temerloh didapati 'terpaksa' menurut kehendak anak-anak mereka yang mahukan 'perubahan'.

"Untuk kali pertama mereka (penduduk Temerloh) telah berkata mereka terpaksa ikut apa yang diminta oleh anak-anak mereka iaitu mengundi Pakatan," kata Prof Redzuan dalam satu sidang media selepas sesi bengkel pasca PRU13 oleh UMCEDEL.

Jelasnya, kebanyakkan pengundi-pengundi muda Cina apabila telah selesai mengundi, akan pulang ke tempat mereka menetap dan yang tinggal hanyalah golongan tua yang mengenali Saifuddin.

"Apa yang berlaku dalam Pilihan Raya ini, untuk masyarakat Cina, ialah slogan 'ubah'. Mereka telah membuat pilihan... yang pentingnya (bagi mereka) ialah 'ubah'.

"Bila mereka mengundi, mereka harapkan dengan mengundi Pakatan, mereka akan 'ubah'... tetapi selepas PRU mereka sedar Pakatan masih gagal menawan Putrajaya dan BN masih kekal berkuasa oleh itu hanya BN mampu memberi," kata Prof Redzuan.

Sementara itu Saifuddin ketika diminta mengulas tentang hasil kaji selidik tersebut berkata beliau menerima kaji selidik UMCEDEL itu seadanya.

"Apa yang saya lakukan selepas keputusan PRU lalu ialah berjumpa dengan pemimpin masyarakat Cina pada peringkat akar umbi kerana saya ingin fahami bahawa mesti ada sebab masyarakat Cina memihak (kepada
PR) sebegitu.

"Dan saya dapati ialah adalah kerana '4C' iaitu rasuah (corruption), kroni (cronyism), kos hidup (cost of living) dan jenayah (crime). Saya berjumpa dengan orang-orang di Selangor dan Melaka, saya dengar perkara yang sama... malah hampir semua tempat," katanya kepada wartawan.

Mengulas tentang satu lagi sebab kekalahan BN yang dikaji oleh UMCEDEL yang mengatakan masyarakat menganggap BN dan Umno mempunyai masalah integriti, Saifuddin berkata untuk itu BN harus lakukan sesuatu.

"Dua perkara yang BN harus lakukan ialah berjumpa dengan masyarakat Cina dan cuba fahami faktor 4C itu, dan BN mestilah berusaha untuk selesaikan isu integriti mereka. Saya juga tidak sabar untuk melihat makmal politik BN yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Tambahnya, apabila Cina 'mahukan' sesuatu ia tak semestinya perlu dibalas dengan 'pemberian', apa yang mereka mahu hanyalah pentadbiran yang baik.

UMCEDEL telah mengadakan satu kajian pasca PRU13 bagi mengetahui faktor kekalahan atau kemenangan sesuatu kawasan.

Kawasan pertama yang telah mendapat kaji selidik menyeluruh ialah Temerloh, kerana menurut Prof Redzuan, kawasan itu mempunyai pembahagian penduduk yang 'mewakili Malaysia' iaitu penduduk Melayu sebanyak 64 peratus, Cina 24 peratus dan India 9 peratus.

Sebanyak 850 responden telah terlibat dalam kaji selidik di Temerloh, yang telah dilaksanakan pada 31 Mei hingga 2 Jun 2013 melibatkan 39 orang enumerator dan 6 orang penyelia.

Pemilihan responden juga dilakukan secara rawak dan dilakukan secara bersemuka dengan masyarakat Melayu, Cina dan India.

Pada PRU13 lalu, Barisan Nasional Saifuddin Abdullah telah mengejutkan banyak pihak apabila kalah dalam kerusi Temerloh yang ditandinginya.

Beliau kalah dengan calon Pas, iaitu Ketua Dewan Pemudanya Nasruddin Hassan Tantawi dengan majoriti 1,070 undi.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Pas kekal menang di Kuala Semantan, DAP pula merampas DUN Mentakab manakalan BN menang di DUN Lanchang.