Faktor usia yang lanjut serta tiada pengetahuan Teknologi Maklumat (IT) adalah antara masalah sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan sistem e-hailing, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Bagaimanapun jelasnya, ketika ini, kira-kira 14 ribu pemandu teksi telah menggunakan sistem berkenaan.

"Apa yang kita dapati teksi yang dalam platform e-hailing ini ada 14 ribu dan bilangan itu bertambah. Ada yang tidak berani atau mungkin mereka tidak begitu IT savvy dan tidak mengguna e-hailing dan ada sebab usia dan ada yang rasa siapa guna e-hailing itu adalah pesaing pada mereka," katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim di Dewan Rakyat.

Jelasnya, dua faktor berkenaan menjadi antara masalah dan cabaran yang sedang diatasi pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu katanya, SPAD telah membekukan pengeluaran permit baharu kepada syarikat teksi sejak suruhanjaya itu mengambil alih fungsi daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 2010.

Bagaimanapun, beliau turut melihat keperluan dan sumbangan syarikat teksi dalam membantu pemandu teksi individu.

"Sebagai contoh ada pemegang permit individu yang tidak mampu untuk mendapatkan kemudahan pinjaman melalui institusi kewangan disebabkan pelbagai faktor seperti usia dan tidak penuhi kehendak institusi kewangan dan sebagainya.

"Syarikat teksi sedia untuk beri kemudahan sewa beli kenderaan yang dikenali sebagai sistem pajak," ujar beliau.

Namun, beliau tidak menafikan ada syarat-syarat yang dikenakan dalam sistem pajak berkenaan adalah berat sebelah untuk pemandu teksi.

"Oleh sebab itu kita lakukan penambaikan dilakukan dalam rang undang-undang RUU yang diluluskan minggu lalu memastikan terma-terma kontrak memenuhi piawaian ditetapkan demi keadilan kepada syarikat dan pemandu teksi," jelas beliau lagi.