Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin dengan sebahagian daripada 14 fasal yang terkandung dalam RUU tersebut memperuntukan hukuman denda hingga RM500,000 atau 10 tahun penjara terhadap individu yang didapati bersalah.

Namun apakah justifikasi untuk wujudkan undang-undang baharu ini ?

Ini tujuh perkara yang anda perlu tahu mengenai RUU Antiberita Tidak Benar 2018.

1. Apakah tujuan Kerajaan memperkenalkan undang-undang baharu ini serta cabarannya memandangkan terdapat beberapa undang-undang sedia ada untuk mengekang isu penyebaran berita tidak benar?

Isu penyebaran berita tidak benar merupakan masalah yang dihadapi secara global ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas. Ia yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh memberi ancaman terhadap keselamatan, ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Malah, beberapa negara luar telah mula menyedari bahawa isu penyebaran berita tidak benar merupakan ancaman global yang besar kepada dunia maklumat (information world) yang perlu ditangani secara efektif dan segera. Sebagai contohnya, suatu Jawatankuasa Pilihan (Select Committee On Deliberate Online Falsehoods: Causes, Consequences And Counter measures) ditubuhkan untuk mengkaji masalah berita tidak benar, jenis-jenis pelaku dan motif mereka dalam menyebarkan berita tidak benar dan kesan penyebarnya. Ini termasuklah kemungkinan untuk mengadakan suatu undang-undang baharu bagi menangani penyebaran berita tidak benar.

Filipina juga telah menggubal suatu RUU khas untuk menangani penyebaran berita tidak benar, iaitu Anti-Fake News Bill 2017 yang memperuntukkan kesalahan bagi mana-mana orang yang menawarkan, menerbitkan, mengedar atau menyebarkan berita tidak benar.

Justeru, pendekatan baharu dengan memperkenalkan satu RUU baharu adalah amat kritikal walaupun terdapat beberapa undang-undang yang berkaitan, namun sehingga hari ini masalah ini tidak dapat dikawal secara efektif berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas dan kompleks.

Apatah lagi, undang-undang yang sering disebut dalam perkara ini seperti Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah digubal pada atau sebelum tahun 1990an yang tidak dapat menangani sifat kesalahan yang kompleks seiring dengan peredaran teknologi terkini.

Antara elemen baharu yang dicadangkan termasuk memperuntukan pemakaian luar wilayah (extra territorial application) dengan hasrat menunjukkan keseriusan Kerajaan dalam menangani kesalahan-kesalahan penyebaran berita tidak benar oleh mana-mana orang di luar Malaysia.

Selain takrif, penjelasan atau ilustrasi yang jelas mengenai maksud “berita tidak benar”, RUU ini juga akan memperuntukkan kesalahan mengenai bantuan kewangan bagi tujuan penyebaran berita tidak benar, kesalahan sekiranya seseorang itu tidak menghapuskan sesuatu penyiaran berita tidak benar dan sebagainya.

Pada masa yang sama, RUU ini akan mewujudkan langkah sementara (interim measures) untuk menyekat penyebaran sesuatu berita tidak benar sementara siasatan dan pendakwaan sesuatu kes sedang dijalankan.

2. Merujuk kepada, definisi mengenai “berita tidak benar” dalam RUU ini, adakah definisi tersebut bersifat umum atau spesifik?

Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memberikan takrif yang jelas dan khusus mengenai “berita tidak benar” dalam RUU yang dicadangkan termasuk memperuntukan beberapa ilustrasi untuk menunjukkan keadaan-keadaan berlakunya sesuatu penyebaran berita tidak benar.

Perlu diberi penekanan bahawa buat masa ini, tidak ada mana-mana undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan penyebaran berita tidak benar yang memberikan definisi khusus mengenai “berita tidak benar”.

3. Dalam konteks ini, siapakah yang akan menentukan sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya?

Dalam perkara ini, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberikan satu pihak yang neutral dan adil iaitu Mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu berita atau informasi itu tidak benar atau sebaliknya. Yakni, dengan proses undang-undang yang sewajarnya (by due process of law).

Kuasa akan diberikan kepada Mahkamah untuk membuat perintah bagi menghapuskan apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar.

4. Terdapat dakwaan bahawa RUU ini akan menyekat kebebasan bersuara yang diperuntukkan, apakah pandangan Kerajaan mengenai perkara ini?

Kerajaan telah melaksanakan transformasi undang-undang (legal transformation) seperti melalui pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA, memperkenalkan Peaceful Assembly Act atau Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menyuburkan lagi hak bersuara rakyat di negara ini.

RUU ini digubal selaras dengan punca kuasa sebagaimana yang diperuntukkan dalam perenggan (a) Fasal 2 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

RUU yang dicadangkan ini bertujuan untuk melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama bertujuan untuk memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

5. Adakah RUU ini akan memperuntukan hukuman yang lebih berat?

RUU ini juga berunsur pencegahan (deterrence) bagi memberi mesej yang jelas bahawa setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sihat.

Pada masa yang sama, RUU ini juga akan memberikan mesej yang jelas bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak benar yang boleh memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan Negara malah akan terus memastikan keselamatan Negara terus terpelihara. Justeru, sememangnya, hukuman yang lebih tinggi diperuntukkan berdasarkan degree sesuatu kesalahan termasuk pengenaan denda dan hukuman penjara.

6. Adakah RUU ini hanya untuk mengawal penularan berita tidak benar dalam media sosial?

RUU ini mengawal selia penyebaran berita tidak benar dalam mana-mana medium penerbitan dan tidak terbatas kepada media sosial sahaja.

7. Pendek kata, dengan adanya RUU ini adakah Kerajaan akan menangani isu penyebaran berita tidak benar ini secara total?

RUU ini dapat menzahirkan komitmen Kerajaan untuk menangani penularan berleluasa berita tidak benar ekoran revolusi teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat dan terlalu pantas.

Sehubungan dengan itu, RUU ini akan melengkapi (complement) peruntukan undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, skop RUU ini luas dan eksklusif bagi menangani kesalahan-kesalahan mengenai berita tidak benar secara menyeluruh dan efektif.