Tutup

Felda akan terima Pengerusi baharu?

Felda akan terima Pengerusi baharu?
Megat Zaharuddin dilantik menjadi Pengerusi pada 27 Julai 2018 mengantikan Tan Sri Shahrir Samad, yang meletak jawatan pada 14 Mei 2018. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijangka menerima pelantikan Pengerusi baharu bagi menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Menurut sumber, satu emel ditulis oleh Megat Zaharuddin dan diedarkan kepada pekerja dalaman Felda menyebut beliau akan meninggalkan badan itu pada 30 Jun 2019.

“Hampir setahun Felda beroperasi dengan misi, visi baharu dan nilai teras baharu. Dalam masa setahun ini juga beberapa pelan transformasi telah diperkenalkan dan diketengahkan.

"Tiga telah berjaya dilaksanakan, tujuh masih lagi dalam proses penyelesaian dan selebihnya bakal menyusul selewat-lewatnya hujung 2019,” menurut salinan emel oleh Megat Zaharuddin yang diserahkan kepada Astro AWANI oleh sumber.
“Itulah perjalanan dan penglibatan saya selama berkhidmat di sini. Namun begitu, perjalanan saya sudah sampai ke penghujungnya.

“Dengan itu pada hari ini, dengan berat hati saya ingin mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi Felda.
“Hari terakhir saya di agensi yang gemilang ini bermula pada 30 Jun 2019,” menurut salinan emel tersebut.

Salinan tersebut turut disahkan oleh sumber dalaman Felda yang turut memberitahu pengganti Megat Zaharuddin sudah dipilih.

BACA: Lantikan pengerusi Felda diharap selesai masalah elaun, hasil peneroka

Astro AWANI masih menantikan pengesahan oleh pegawai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung perkara berkenaan.

Walau bagaimanapun Unit Komunikasi Felda ketika dihubungi berkata satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan badan itu.

Megat Zaharuddin dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 27 Julai 2018 mengantikan Tan Sri Shahrir Samad yang meletak jawatan pada 14 Mei 2018.

Sebelum menyertai Felda, Megat Zaharuddin merupakan Pengerusi Maybank untuk tempoh tujuh tahun.