Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Felda dapat peruntukan RM286 juta bagi 463 projek infrastruktur

Felda dapat peruntukan RM286 juta bagi 463 projek infrastruktur
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima peruntukan sebanyak RM286 juta daripada kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 bagi 463 projek di 11 wilayah FELDA. - Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima peruntukan sebanyak RM286 juta daripada kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 bagi 463 projek di 11 wilayah Felda yang akan dilaksanakan mengikut kaedah perolehan yang sewajarnya.

Pengarah Besarnya Datuk Othman Omar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata PRE itu adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam menambah baik kualiti kehidupan peneroka sekali gus meningkatkan mobiliti sosial mereka.
Menurutnya, projek-projek tersebut termasuklah menaik taraf cerun dan tanah runtuh; menaik taraf infrastruktur komuniti; menaik taraf sistem perparitan, longkang dan pembentungan; menaik taraf jalan raya, menaik taraf pusat transit baja; projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF); menaik taraf dan selenggara rumah petugas Felda dan membaik pulih kawasan tanah runtuh di Loji Rawatan Air Felda Umas, Sabah.

Sementara itu, mengenai sesi undian penganugerahan projek kepada kontraktor, Othman berkata beliau berharap agar semua kontraktor yang berjaya dapat melaksanakan kerja dengan penuh amanah kerana peruntukan yang disediakan untuk projek yang diluluskan ini mempunyai nilai yang besar kepada warga peneroka.
"Saya ingin lihat projek-projek ini dapat memberi impak dan manfaat berterusan kepada warga peneroka" katanya.

Sesi undian yang bermula hari ini dan esok itu dilakukan tanpa kehadiran kontraktor, ia berlangsung secara dalam talian menerusi laman Facebook bagi memastikan ketelusan dan integriti agar tiada isu atau sebarang keraguan semasa berlangsungnya cabutan undian.

Selain itu beliau juga mengingatkan kontraktor yang mengambil bahagian hendaklah mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek dari segi pekerja, kemahiran teknikal dan kemudahan peralatan kerja.

Othman berkata Felda akan memantau rapat kerja-kerja yang dijalankan untuk memastikan ia dijalankan dalam tempoh yang ditetapkan dengan kualiti yang terbaik.

-- BERNAMA


Tag: Felda, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Pakej Rangsangan Ekonomi, ekonomi, kerajaan, integriti



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.