Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi komitmen bahawa projek menaiktaraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang akan mula dilaksanakan mulai tahun depan.

Loke berkata, projek menaik taraf feri di bawah Syarikat Prasarana Malaysia (Prasarana) termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran selain mewujudkan feri pelancongan di Pulau Pinang.

"Saya sangat memahami bahawa feri yang sedia ada ini amat sentimental untuk warga Pulau Pinang, jadi perancangan kami adalah untuk mengubah feri yang sedia ada ini menjadi feri pelancongan seperti yang ada di Bangkok, Thailand.

"Kami juga akan mengekalkan mungkin dua atau tiga buah feri yang akan membawa kenderaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pas Mutiara di sini hari ini.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan mempunyai peruntukan sebanyak RM90 juta untuk diberikan bagi projek menaik taraf perkhidmatan feri, namun pengeluaran dana itu terpaksa ditangguh sehingga isu-isu perundangan melibatkan pengendali feri lama dengan yang baharu diselesaikan.

Beliau berkata, Prasarana sebagai syarikat pengendali feri akan mencari dana melalui saluran dalaman untuk menanggung kos menaik taraf dan juga pembelian bot jenis catamaran.

"Kami telah memberikan kelulusan kepada Prasarana untuk meneruskan projek menaik taraf ini dengan menggunakan modal perbelanjaan mereka termasuk pembelian catamaran dan mengubahsuai feri sedia ada kepada feri pelancongan," katanya.

Terdahulu, Loke melancarkan Pas Mutiara untuk pejalanan tanpa had bagi berkhidmatan bas Rapid Penang dan feri Pulau Pinang selama tempoh 30 hari.

Beliau berkata, melihat pada sambutan dan kejayaan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 di Lembah Klang, Kerajaan Persekutuan telah mengatur langkah bagi melancarkan fasa kedua, iaitu dengan pelancaran pas perjalanan tanpa had di Pulau Pinang.

"Pas Mutiara membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang dan Feri Pulau Pinang berulang-ulang kali dalam sehari tanpa had untuk tempoh 30 hari berturut-turut dengan hanya RM50," katanya.

Beliau berkata, sistem Pas Mutiara ini akan mula dilaksanakan pada 1 September dan pas ini telah dijual mulai Selasa lepas.

"Sistem pengangkutan negara kini sedang bergerak ke arah "cashless" dan pelancaran hari ini akan diperluaskan kepada semua negeri pada masa hadapan," katanya.

Beliau difahamkan Rapid Penang beroperasi menggunaan 404 buah bas merentasi 71 laluan dengan jumlah penumpang tahunan sebanyak 16 juta setahun dan sehingga Julai 2019, jumlah purata penumpang harian adalah melebihi 75,000 orang.

Katanya, Rapid Ferry pula beroperasi menggunakan enam feri yang berlabuh di dua buah jeti, dengan sejumlah 865,559 orang penumpang dan 762,498 kenderaan menggunakan perkhidmatan itu setiap tahun.

Tambahnya, sehingga Julai 2019, jumlah purata penumpang harian Rapid Ferry adalah seramai 3,696 orang, sementara purata 1,198 kereta, 1,855 motosikal dan 59 lain-lain kenderaan direkodkan setiap sehari. - BERNAMA