Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang perlu memikirkan kesan keputusan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah di negeri itu yang akan diwartakan tidak lama lagi.

Setiausaha Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang, Ahmad Yakqub Nazri berkata, persetujuan ahli dan ulama di dalam Jabatan Mufti harus diperoleh selain pandangan untuk mengelakkan larangan itu daripada diteruskan.

"Saya sedih kerana dalam itu (Jabatan Mufti) penuh ulama. Ada yang tidak setuju.

"Mungkin mereka beri pandangan dan harus fikirkan impaknya dari segi umat Islam," katanya semasa sidang media selepas mengantar memorandum ke Istana Negara di sini hari ini.

Memorandum diterima Setiausaha Sulit Kanan, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung, Datuk Elmi Yusof.

Turut hadir Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa.

Antara kandungan memorandum itu termasuk membantah keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang atas alasan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan segala amalan agama Islam sepatutnya dibenarkan dan bukannya dihalang dan diperkecilkan amalannya.

Memorandum itu turut menyatakan amalan menggunakan pembesar suara bagi tujuan selain azan dan iqamah telahpun lama diamalkan di semua masjid dan surau di Pulau Pinang malah di seluruh negara Malaysia.

Maka tindakan halangan itu menurut memorandum itu dilihat sebagai usaha untuk memperkecilkan amalan umat Islam dan disamping itu menyekat dakwah Islamiyah ke atas umat Islam.

Memorandum itu turut menyebut kebaikan penggunaan pembesar suara yang memberi manfaat ketika wanita uzur dan orang yang sakit tidak dapat hadir ke masjid dan surau.

Pada Khamis, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang memaklumkan cabutan minit Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang menyebut bahawa mesyuarat bersetuju agar Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011.

Ia menyatakan larangan membaca Al-Quran sebelum Subuh dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi semua program seperti qiamulail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

Minit itu turut menyebut, penggunaan pembesar suara dalaman sahaja dibenarkan bagi program dan aktiviti masjid dan surau.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan beberapa isu penting antaranya tiada kompromi bagi laungan azan di masjid dan surau.

Sebanyak jumlah 10 aduan diterima Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) berkaitan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau dari Januari 2012 hingga Mei 2015 melibatkan pembesar suara di luar bagi bacaan dalam solat, zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman Al-Quran atau zikir sebelum azan.