Tutup

Fokus kepada 'Perak Man' sebagai tarikan pelancong

Fokus kepada 'Perak Man' sebagai tarikan pelancong
Dr Wan Azizah berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh malam tadi. --fotoBERNAMA
IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kerajaan negeri Perak disaran memberi fokus kepada 'Perak Man' dan pembangunan Lembah Lenggong di Hilir Perak sebagai tempat tumpuan pelancong.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia penting kerana pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh.
"Bukan mudah untuk sesuatu kawasan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan seharusnya peluang ini digunakan untuk memperkenalkan sisi lain Malaysia kepada dunia," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2019 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini, pada Sabtu.

Perak Man yang ditemukan di dalam Gua Runtuh, Lenggong pada tahun 1990 merupakan rangka manusia era paleolitik yang paling lengkap.
Selain itu, Dr Wan Azizah berkata MOTAC dan kerajaan negeri boleh menggunakan elemen sejarah serta warisan untuk menarik lebih ramai pelancong khususnya dari United Kingdom memandangkan Perak mempunyai kesan peninggalan residen British yang boleh dijadikan 'pelancongan sejarah'.

Tidak sabar menanti ketibaan tahun 2020 yang juga tahun Melawat Malaysia, Dr Wan Azizah turut berharap rakyat negara ini khususnya di Perak bersedia menyambut kedatangan pelancong antabangsa ke negeri ini yang kaya dengan sejarah.

Mengenai MRTM Deepavali, Dr Wan Azizah berkata ia memberi peluang kepada semua untuk meraikan dan menyambut perayaan kaum-kaum berbeza ke arah membina pemahaman dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini, sekaligus menjadikan Malaysia berbeza dengan negara lain.

Tambahnya pelancong antarabangsa datang ke Malaysia kerana seni budaya, jati diri ketimuran, warisan zaman berzaman serta kekayaan flora dan fauna maka semua itu harus dijadikan aset dalam merancang untuk membawa lebih ramai pelancong.

-- BERNAMA