Syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda akan melaksanakan skim pembayaran baharu bagi semua penghantar makanannya di luar Lembah Klang, berkuat kuasa 30 September ini.

Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, syarikat itu yang mempunyai lebih 12,000 penghantar makanan bebas di seluruh Malaysia memperkenalkan skim pembayaran baharu yang menyediakan fleksibiliti kepada mereka untuk memilih bila dan di mana mereka mahu bekerja.

"Sistem ini memastikan bahawa penghantar makanan yang mahu bekerja lebih akan menerima kuantiti penghantaran tinggi disediakan kepada mereka dan sebaliknya.

"Oleh kerana penghantar makanan bekerja dengan foodpanda secara bebas, skim yang disemak semula itu akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak pendapatan berasaskan kepada pesanan yang mereka terima," kata Sayantan dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, foodpanda juga menaikkan kadar bagi setiap pesanan yang dihantar oleh penghantar makanan.

"Sebagai contoh, seorang penghantar makanan yang sebelum ini menerima RM5 bagi setiap pesanan kini akan menerima RM7.

"Penghantar makanan juga diberi insentif dengan bonus RM100 selepas menyelesaikan 60 jam bekerja seminggu. Di samping itu, mereka juga menerima tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara pukul 11 malam hingga 9 pagi setiap hari," katanya.

Beliau berkata, penghantar makanan juga akan menerima bonus tambahan antara 30 September dan 6 Oktober apabila mereka menyelesaikan penghantaran minimum 80 pesanan semasa tempoh tersebut. - BERNAMA