Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan individu yang dinamakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia pada 1990-an akan dipanggil untuk siasatan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun suruhanjaya itu tidak mempunyai kuasa perundangan khusus untuk mendakwa mereka tetapi berdasarkan syor kajian, individu terbabit boleh disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebagaimana yang dinyatakan Ketua Polis Negara, pihak polis, khususnya JSJK akan menjalankan siasatan jika ada laporan polis dibuat selain permintaan secara rasmi," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Karnival Planet Ummah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 2017 di Masjid Putra pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, pihak Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan satu pasukan khas bagi melakukan siasatan lanjut berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pasukan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh itu ditubuhkan semalam sejurus laporan polis berhubung perkara berkenaan diterima.