Kerajaan negeri Selangor berharap dapat mengetengahkan formula terbaik untuk membantu rakyat di negeri ini memiliki rumah menerusi Projek Rumah Idaman.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini kerana kerajaan menyedari faktor kewangan antara penyebab yang menyumbang kepada kesukaran orang ramai, khususnya pembeli rumah pertama, untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan.

"Kami dalam fasa terakhir perbincangan untuk memuktamadkan perjanjian dengan institusi kewangan.

"Kerajaan negeri cuba masuk dan membantu institusi perbankan, pembeli dan pemaju. Sebelum ini masalahnya ialah rumah ada, tapi bank tak nak bagi pinjaman sebab potential buyer tidak berkemampuan untuk dapat pinjaman.

"Jadi kita sedang siapkan satu formula yang ada hubungan antara sewaan dan pembeliaan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rumah Idaman di Kajang 2 Bandar Teknologi Kajang, pada Ahad.

Projek Rumah Idaman siri pertama yang bakal dibangunkan di Kajang 2 akan membekalkan 2,059 unit rumah mampu milik dengan harga RM250,000 ke bawah.

Selain kerjasama dengan institusi kewangan yang akan memudahkan urusan pembelian, projek ini juga akan menyediakan rumah semi furnished (separa lengkap perabot) yang dijangka akan dapat membantu meringankan kos pembeli.

"Perbelanjaan tambahan apabila membeli rumah memang banyak, jadi kita cuba bantu untuk kurangkannya.

"Pembeli akan masuk dalam rumah dengan perbelanjaan yang sedikit kerana mereka tidak perlu beli perabot, kabinet dapur dan sebagainya," tambahnya.

Rumah Idaman menawarkan unit kediaman berkeluasan lebih 1,000 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua parkir kereta, selain turut didatangkan dengan set televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, penghawa dingin dan alat pemanas air.