Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Lokman Noor Adam melihat pihak Universiti Islam Antarabangsa (UIA) harus membenarkan forum cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dianjurkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu pada malam Rabu diteruskan dengan penglibatan semua pihak berkenaan.

Tegasnya, ia dilihat sihat bagi perkembangan demokrasi dan membolehkan para mahasiswa mendengar penjelasan kedua belah pihak mengenai isu yang dibincangkan.

"Jika kita terus menghalang debat sedemikian rupa, pembohong besar seperti Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli akan terus dipercayai oleh para mahasiswa.

"Rafizi masih boleh melakukan hasutan dan penipuan beliau melalui YouTube dan Whatapp. Tetapi sekiranya debat itu diteruskan, setidak-tidaknya para mahasiswa kita berpeluang mengetahui perkara yang sebenar dan mendengar hujah balas kita untuk meningkatkan kefahaman mereka tentang GST dan isu semasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Kenapa Lokman boleh bercakap sehingga 15 minit? - Rafizi

Lokman mengulas kekecohan yang berlaku semasa forum GST yang berlangsung pada malam Rabu di UIA.

Terdahulu, Rafizi menyifatkan dia hanya dibenarkan berucap kira-kira 10 minit sebelum mikrofonnya dirampas dan diminta menghentikan ucapannya.

Lokman dalam pada itu berkata, Rafizi dikatakan bersikap biadab di meja makan dengan menghalau pengawal keselamatan yang bertugas dari bilik makan yang disediakan.

"Semua pengawal keluar kecuali seorang yang memakai T-shirt Jingga. Apabila merasakan mulut Rafizi sudah terlalu lancang dan tidak menghormati pengawal tersebut, saya telah menegur Rafizi supaya menghentikannya.

"Saya kata, "Kita sudah buat salah meneruskan program yang tidak dibenarkan pihak Universiti, kenalah terima risikonya". Rafizi yang berang dengan jawapan saya itu mula menjadikan saya sasarannya pula sehingga berlaku pertikaman lidah.

"Apa yang menyebabkan pergaduhan hampir tercetus adalah apabila Rafizi mengatakan saya masuk UMNO sebaik sahaja lepas keluar ISA. Pada hakikatnya saya dibebaskan dari ISA pada tahun 2003. Manakala saya telah dipecat dari PKR adalah pada tahun 2004 sebelum menyertai UMNO semula 3 tahun selepas dipecat iaitu pada tahun 2007," ujarnya.