Naib Presiden PRK, Rafizi Ramli mempertikaikan tindakan kasar Ketua Keselamatan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Razali Mohamad yang bertindak merampas mikrofonnya semasa sedang berucap di dalam satu forum mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) di universiti itu pada malam Rabu.

Tegasnya, tindakan itu sekali gus dilihat tidak adil selepas mereka membenarkan panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam untuk berucap dan membentangkan isu GST selama kira-kira 15 minit kepada mahasiswa universiti berkenaan.

"Setelah 15 minit Lokman Adam berucap, seorang pegawai keselamatan UIA tampil mengumumkan bahawa pihak pengurusan teratas UIA telah membuat keputusan bahawa program boleh diteruskan tetapi hanya Lokman Adam yang dibenarkan berucap. Ini menimbulkan kemarahan dan kekecewaan siswa yang hadir.

"Lokman Adam kemudiannya menyatakan dia akan berhenti bercakap dan mahu program dihentikan. Pada ketika itu saya menyatakan kepada pimpinan MPP dan siswa yang hadir bahawa tidaklah adil jika saya langsung tidak dibenarkan berucap sedangkan Lokman Adam telah pun berucap selama 15 minit.

"Pada ketika itulah pimpinan MPP berunding dengan pegawai keselamatan UIA yang ada di situ dan menyatakan bahawa majlis akan berakhir setelah saya berucap selama 15 minit. Saya dijemput berucap dan pada minit kelapan, seorang yang tidak dikenali datang menghampiri dan merampas mikrofon sehingga tercabut bateri mikrofon. Ini berlaku di hadapan beratus-ratus siswa UIA yang hadir dan menimbulkan suasana tegang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rafizi mengulas jemputan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP atau Students Representative Council, SRC) UIA kepadanya untuk menyertai forum mengenai GST selain dimaklumkan garis panduan bahawa MPP boleh menjemput ahli politik berdiskusi dalam majlis ilmu di UIA dengan syarat ahli politik itu mempunyai kelayakan dalam bidang yang dibincangkan.

Bagaimanapun kata Rafizi, dia hanya mendapat tahu semalam bahawa pada saat akhir, Rektor UIA telah mengarahkan supaya program itu dibatalkan selain berkata timbul kekeliruan apabila dimaklumkan bahawa pihak UIA bersetuju agar program itu diteruskan kerana Lokman Adam turut hadir.

Tegas Rafizi, dia memaklumkan secara terbuka kepada individu itu bahawa tindakannya adalah biadap dan tidak menghormati majlis ilmu.

"Cara biadapnya itu bukanlah contoh terbaik di hadapan siswa dan kemudian keadaan menjadi tegang apabila beberapa orang dewasa yang tidak beruniform menghampiri saya dan cuba untuk memaksa saya beredar dari kawasan itu.

"Saya dilindungi oleh puluhan siswa UIA yang memisahkan saya dari orang-orang yang tidak dikenali ini. Beberapa dari mereka membuat bising dan mengkritik kononnya tindakan saya tidak mencerminkan seorang Ahli Parlimen.

"Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa orang-orang yang tidak dikenali ini adalah anggota-anggota polis Cawangan Khas. Selepas 20 minit, saya akhirnya dibawa beredar dari kawasan itu dan siswa bersurai dengan aman," jelasnya.

Dalam pada itu jelasnya, insiden itu turut membuktikan Raktor UIA, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin perlu meletakkan jawatannya dengan segera.

"Sebelum ini UIA pernah mengundang kontroversi apabila membatalkan program-program UIA termasuklah yang melibatkan menteri, wakil kedutaan asing dan EXCO Kerajaan Selangor.

"Kecenderungan Rektor UIA ini memberi gambaran seolah-olah UIA tidak meraikan ilmu yang dijana dari perbezaan pendapat. Malah keputusan Rektor UIA yang membenarkan hanya Lokman untuk berucap semalam mendedahkan bagaimana dia telah mempolitikkan kedudukannya bagi kepentingan sebelah pihak.

"Tindakan-tindakan ini bertentangan dengan hasrat Kerajaan Barisan Nasional sendiri untuk menaik taraf mutu institusi pengajian tinggi. Untuk menjadi universiti yang berwibawa, UIA perlu menghormati kebebasan ilmu dan kebebasan berfikir," jelasnya.