Suasana Forum Awam: Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Universiti Malaya menjadi kecoh selepas seorang hadirin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap segelintir panelis yang didakwa tidak profesional dalam melontarkan pandangan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii, ketika diberi peluang bertanya soalan di forum itu dengan keras berkata, adalah tidak wajar untuk panelis mengganggap pandangan berbeza sebagai sesuatu yang ‘bodoh’.

“Saya minta kita semua kena hormat menghormati antara satu sama lain. Ini Malaysia baharu, you boleh cakap you punya fakta no problem, tapi jangan gelar orang kangkung, jangan gelar orang bodoh. Terima tak ni?

“Saya minta satu lagi. Freedom of speech. Satu lagi tak perlu gelar kita punya royal family perompak. Please. Tak perlu royal family perompak, okey?” katanya ketika mempertahankan empat ahli akademik itu.

Empat orang ahli akademik itu ialah Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Sebelum ini dilaporkan keempat-empat mereka telah membentangkan kertas kerja mengenai Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, kepada Majlis Raja-Raja, serta menyentuh mengenai kesan negatifnya terhadap Institusi Diraja.

Sementara itu, forum itu menyaksikan barisan panelis seperti Peguam Negara Tommy Thomas, pengasas Gerakan G25 Datuk Noor Farida Ariffin, Pakar Perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, peguam Lim Wei Jiet, dan aktivis Asheeq Ali Sethi Alivi.

Difahamkan keempat-empat profesor berkenaan telah dijemput penganjur forum itu, tetapi tidak hadir.