Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menyambut baik pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) namun ia perlu dikaji semula terutamanya berkaitan aspek kos yang terlalu mahal serta tidak munasabah.

Fuziah berkata, projek ini dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Pantai Timur dan khususnya untuk penduduk Kuantan dalam jangka masa panjang.

Projek itu perlu dikaji terutamanya aspek kos yang terlalu tinggi agar ia akan memberi impak positif kepada negara.

"Sejak dari dahulu pendirian saya sentiasa mengalu-alukan projek ECRL kerana ia mampu menjana ekonomi lebih baik kepada negeri ini malah dapat memberi pekerjaan kepada penduduk.

"Tetapi kerajaan perlu mengkaji semula kos yang perlu dikeluarkan dalam melaksanakan projek ini, kerana harganya terlalu mahal. Malah saya difahamkan kontraktor tempatan turut dipinggirkan daripada mendapat projek.

"Sepatutnya ECRL ini dapat mencipta lebih banyak peluang ekonomi tetapi difahamkan hanya 30 peratus daripada 60 peratus projek pembinaan infrastrukturnya diberikan kepada kontraktor tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Pelabuhan Kuantan di Gebeng di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung dan ADUN Teruntum, Sim Chon Siang.

Projek ECRL bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek berkenaan dijadual siap pada Jun 2024.

Beliau berkata, dengan adanya ECRL, jarak perjalanan dari Ibu Negara ke daerah ini lebih singkat berbanding menaiki kereta yang memerlukan masa antara tiga hingga empat jam.

"Kita menyedari negeri ini memiliki tahap penerbangan yang tidak begitu baik, melalu jalan raya mengambil masa dua tiga jam ke Kuala Lumpur, jadi dengan adanya ECRL ini nanti dapat membuka jalan kepada peningkatan ekonomi negeri," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet minggu lalu memberitahu bahawa ECRL belum dibatalkan memandangkan banyak wang telah dibelanjakan ke atasnya.

Beliau berkata, kerajaan sedang mengkaji daya maju projek itu dan bagaimana untuk menanganinya dengan bijak.