Penggabungan lot di Kampung Baru dilihat usaha pemilik tanah membantu Perbadanan Kampung Baru (PKB) mempercepat pembangunan lokasi tersebut.

Beberapa wakil penduduk merasakan kerjasama itu harus disusuli dengan penerangan nilai semasa dan status tanah yang akan dibangun oleh pihak berkenaan.

Wakil penduduk sebuah kampung yang berada di dalam Kampung Baru, Kampung Masjid, Shima Zainal berkata, pembangunan yang akan dilakukan tidak boleh meminggirkan cadangan pemilik tanah sedia ada di sana.

"Kami amat berharap penduduk Kampung Baru bergabung untuk membangunkan tanah mereka. Ia akan memberi kelebihan kepada pihak berkenaan selain menawarkan harga lebih tinggi untuk semua pemilik tanah berkaitan.

`"Pasti penggabungan menjamin tempoh masa lebih singkat untuk menanti pembangunan Kampung baru seperti yang dirancang selama ini,'' katanya.

Shima ditemui selepas pertemuan bersama pemilik tanah beberapa kampung kecil di Kampung baru iaitu Kampung Periok, Kampung Masjid dan Kampung Atas A dan B.

Dalam pada itu, wakil tanah di Jalan Raja Alang, Shahrom Mohd Haron mahu pemilik tanah memikirkan nasib anak dan cucu waris kampung itu.

`"Saya minta pemilik tanah Kampung Baru ke depan bersama PKB dan bekerjasama. Ini tanah Melayu dalam bandar dan adalah sangat rugi jika tidak diusahakan sekarang. Inilah warisan anak anak cucu kita,'' ujarnya.

Kampung Baru dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.

Sebelum ini, pemilik tanah kampung baru meminta kerajaan menetapkan nilai bagi satu kaki persegi tanah di kampung baru sebelum deraf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB 2020) dijangka dibentang Jun depan.

Sementara itu, Pemula Runding Pemilik Tanah Kampung Baru, Shahariah Sabarudin melahirkan rasa kesal dan menyifatkan ada ahli jawatan kuasa (AJK) PKB yang mempunyai agenda peribadi di sebalik isu penggabungan tanah berkenaan.

`"Jika ada AJK tidak masuk kumpulan penggabungan, saya terpaksa lepaskan...saya masuk kumpulan untuk memudahkan proses dan menaikkan harga tanah...bukan sebab mencari untung,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Samsuri Suradi berkata, AJK PKB harus menerima cadangan yang dilihat terbaik untuk pembangunan kampung baru.

Turut melahirkan pandangan, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang mahu isu nilai tanah Kampung Baru diselesaikan segera.

``Sudah tiba masanya PKB kena pergi beritahu tuan tanah pelan induk yang sudah dibentang. Sekarang ini tuan tanah sedang tunggu berapa harga yang akan diberi dan dinilai berdasarkan pelan berkenaan.

Sebelum ini, PKB yang menjadi perantara kerajaan dan pemilik tanah Kampung Baru menyatakan sebanyak 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah bersetuju untuk membangunkan semula kawasan berkenaan berdasarkan draf PITPKB 2020

PITPKB 2020 yang dijangka siap pada 2035 mampu memenuhi keselesaan dengan menampung jumlah penduduk sehingga 77,000 orang membabitkan 17,500 unit kediaman dan pusat komersial.