Lima bulan berkenalan melalui WhatsApp cukup untuk menjadikan seorang gadis 14 tahun hanyut dalam pujukan dan pelukan, sebelum merelakan dirinya diperkosa lelaki enam tahun tua daripadanya.

Bukan sekali, tetapi lima kali lelaki hidung belang terbabit 'meratah' remaja tingkatan dua itu pada 13 Ogos lalu, di sebuah hotel bajet di Padungan, dekat sini, sebelum dia menyedari telah melakukan kesilapan besar.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, susulan laporan yang dilakukan oleh gadis tersebut pada Khamis, sepasukan anggota siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Samariang, dekat sini.

"Suspek yang berusia 20 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan.

"Mangsa mendakwa telah dirogol sebanyak lima kali oleh lelaki berkenaan yang dikenalinya sejak lima bulan lalu," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.