Bilqis Hijjas, gadis yang melepaskan belon berwarna kuning di sebuah pusat membeli belah pada 31 Ogos lalu, didakwa pada Rabu atas tuduhan berkelakuan menghina bagi membangkitkan kemarahan.

Bilqis, 36 tahun, yang dikenali sebagai "Gadis Belon" itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan majistret Nur Azura Murah.

Bagi kesalahan itu, Bilqis didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dikenakan denda sehingga RM100 jika sabit kesalahan.

Peguam Michelle Yesudas memohon mahkamah menetapkan jaminan antara RM100 dan RM150 terhadap anak guamnya.

Majistret kemudian membenarkan Bilqis diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober untuk sebutan semula kes.

Keluarga tertuduh membayar jaminan terbabit.

Bilqis didakwa berkelakuan dengan cara menghina yang bertujuan membangkitkan kemarahan di mana keamanan mungkin terganggu di pusat beli-belah, di aras 5, Pavillion, Jalan Bukit Bintang, pada pukul 3.15 petang, 31 Ogos lalu.