Berusia hanya 15 tahun, Marscella Ling yang mewakili Bintulu merupakan ahli Parlimen Digital paling muda.

Turut bersamanya, 221 lagi anak muda yang bakal mencipta sejarah mulai 4 hingga 5 Julai apabila mereka bersidang dalam sesi Parlimen pertama yang dijalankan secara maya di negara ini.

Bagi Marscella, Parlimen Digital adalah simbolik buat anak muda dalam melakar masa depan mereka sendiri.

“Malaysia merupakan sebuah negara ‘gerontocratic’ iaitu dipimpin oleh orang tua. Ini melahirkan semangat anak muda untuk terus berjuang buat masa depan mereka sendiri,” kata murid Sekolah Menengah Kebangsaan Kidurong itu.

The future of Malaysia belongs to us,” ujarnya.

Inisiatif yang merupakan kerjasama penganjur Undi18, Challenger Malaysia dan Liga Rakyat Demokratik itu telah memulakan sesi pembacaan pertama minggu lalu.

Hasil daripada undian perwakilan, mereka telah memilih dua usul dengan undian tertinggi untuk dibahaskan iaitu mewujudkan pelan rangsangan ekonomi khusus buat belia serta pelan untuk memastikan sistem pendidikan negara kalis krisis kesihatan seperti pandemik COVID-19.

Menurut salah seorang penganjurnya, Tharma Pillai yang juga merupakan pengasas Undi18, inisiatif ini adalah bukti bahawa golongan belia bukan sahaja mempunyai minat terhadap politik, malah mereka juga berani merangka dimensi baharu politik tanah air berasaskan kreativiti.

“Kita perlu berani berimaginasi dan melihat apa demokrasi itu sendiri,” tegas Tharma.

“Adakah demokrasi hanya terletak dalam dinding-dinding Parlimen, dalam kamar perbincangan parti politik?

“Mungkin kita boleh memperluaskan dan menjadikan politik lebih inklusif, antaranya dengan menggunakan teknologi sedia ada,” kata Tharma, 27, menerusi program Awani Pagi pada Jumaat.


Tambahnya, meskipun kepelbagaian ideologi dalam kalangan anak muda mewujudkan perbezaan pandangan politik, namun pengalaman yang dikongsi bersama boleh menjadi teras penyatuan mereka.

“Walaupun anak muda berbeza dalam spektrum politik - ada yang liberal, ada yang konservatif - tetapi anak muda mempunyai pengalaman dan kebimbangan yang menyatukan.

“Mereka mempunyai antara kebimbangan yang sama. Contohnya, pekerjaan yang bermaruah, ekonomi negara yang baik, perpaduan negara yang mantap dan mewujudkan budaya Malaysia yang hebat.”

Bagi Tharma, berdasarkan pengalamannya menjayakan gerakan Undi18 untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, beliau juga percaya gerakan politik belia dapat merentasi garisan parti politik.

“Kami perasan bahawa anak muda kurang ‘partisanship’ atau terikat kepada satu-satu parti politik,” ujarnya.

Katanya, landskap politik yang mengatasi perbezaan parti tidak mustahil diwujudkan di negara ini dan perlu diperjuangkan oleh anak muda.

Persidangan Parlimen Digital boleh disaksikan umum menerusi laman web www.parlimen.digital.