Tindakan seorang lelaki yang membakar rumah mertuanya dengan membaling bom petrol selepas bertengkar dengan isterinya mengundang padah apabila dicekup polis.

Dalam kejadian jam 10 malam Sabtu di Kampung Melikai, Menumbok, dekat sini, suspek berusia 34 tahun itu berjaya ditahan polis ketika cuba melarikan diri dari lokasi insiden ke rumah ibu bapanya di Kampung Darat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata ketika kejadian, terdapat lapan penghuni di rumah berkenaan – empat kanak-kanak, dua dewasa dan dua warga emas.

Jelas beliau, ketika kejadian, pengadu yang juga isteri suspek dikatakan sedang menonton televisyen bersama kakaknya di rumah itu sebelum terdengar bunyi bising seakan pintu kediaman mereka dibaling benda.

Keadaan rumah bapa pengadu yang terbakar selepas dibaling botol berisi petrol oleh suspek dalam kejadian di Kampung Melikai, Menumbok. - Astro AWANI
"Tidak lama kemudian, pengadu melihat api marak dan kedua-dua beradik bergegas keluar untuk memadamkan kebakaran.

"Api berjaya dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya.

Azmir berkata siasatan polis di lokasi menemukan dua botol yang masih berisi minyak petrol.

Botol berisi petrol yang digunakan oleh suspek untuk membakar rumah mertuanya. - Astro AWANI
"Ada juga saksi yang mendakwa terlihat seorang lelaki yang dikenali oleh pengadu kira-kira jam 9.50 malam itu dengan keadaan amat mencurigakan. Difahamkan, lelaki itu adalah suami kepada pengadu.

"Bertindak atas laporan dan maklumat, kami berjaya menahan suspek ketika dia cuba melarikan diri ke rumah ibu bapanya di Kampung Darat yang terletak tidak jauh daripada lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut, suspek sebelum ini mempunyai masalah rumah tangga dengan pengadu dan mempunyai dua orang cahayamata sejak berkahwin lapan tahun lalu.

"Menurut siasatan juga, suspek sebelumnya pernah memukul isterinya dan mengugut untuk mati bersama sekiranya tidak pulang bersamanya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.