Gaduh di pusat beli belah bukan perkauman, polis buru 'Derek' suspek utama

Gaduh di pusat beli belah bukan perkauman, polis buru 'Derek' suspek utama
Omar menunjukkan wajah suspek yang dikehendaki polis dalam insiden pergaduhan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu pada Isnin. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Polis meminta orang ramai untuk tidak mengaitkan isu pergaduhan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu pada Isnin dengan insiden perkauman.

Sebaliknya, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah, masyarakat umum yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu perlu tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya menafikan kejadian itu adalah berpunca daripada isu perkauman dan hasil siasatan awal mendapati mangsa yang diserang turut tidak mengetahui kenapa serangan berkenaan berlaku.

"Saya nasihatkan kepada orang awam, sekiranya ada maklumat mengetahui insiden ini, sila tampilkan diri.

"Jangan sensasikan kejadian ini dengan isu-isu perkauman. Setakat ini, tidak ada sebarang maklumat bahawa ia timbul dari isu perkauman.

"Mangsa sendiri pun, di peringkat awal, tidak tahu kenapa dia diserang," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.


Mangsa tiba-tiba didatangi suspek yang terus bertindak menyerang dan memukul mangsa serta dua rakannya.


Dalam kejadian jam 6 petang Isnin lalu, mangsa seorang lelaki berusia 40-an terpaksa dirawat di hospital apabila cedera diserang sekumpulan lelaki.



Kejadian tersebut turut menjadi tular selepas video insiden berkenaan dirakam orang awam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes, Omar berkata, pihaknya sudah mengenalpasti suspek utama kejadian iaitu seorang lelaki dikenali sebagai 'Derek'.

Suspek berusia 40 tahun dan dikenali sebagai 'Derek' dipercayai menjadi punca utama pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan berasingan di pusat beli belah itu pada Isnin.

Katanya, suspek berusia 40 tahun itu disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian berkenaan dengan menyerang mangsa menggunakan besi dan buku lima.

“Siasatan awal menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa bersama dua rakannya sedang minum di tempat kejadian.

"Bagaimanapun katanya, mangsa tiba-tiba didatangi suspek yang terus bertindak menyerang dan memukul mangsa serta dua rakannya.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di muka, kepala dan badan. Kejadian juga mencetuskan pergaduhan lebih besar selepas pembabitan rakan-rakan dari kedua-dua kumpulan,” katanya.

Menurut Omar, polis sudah mengenal pasti suspek utama dan beberapa lagi suspek lain yang dipercayai terbabit dalam insiden itu.

"Kita minta mereka yang terbabit supaya tampil menyerah diri bagi memudahkan siasatan dijalankan," tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.