Setelah percubaan 15 kali menghubungi Sirul Azhar Umar gagal, telepersidangan yang sepatutnya berlangsung dari Pejabat Agung PAS bersama Datuk Mahfuz Omar ditamatkan.

Ketua Penerangan PAS itu menyatakan bahawa pihaknya telah berhubung dengan individu yang diyakini sebagai Sirul itu melalui pesanan ringkas pada pukul 10.40 pagi tadi.

"Saya menyatakan mengenai nombor telefon yang saya akan guna untuk menghubunginya. Dan mesej itu dijawab 'OK' olehnya," ujar Mahfuz yang amat mengharapkan telepersidangan itu dapat mendedahkan motif pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau memberitahu wartawan bahawa sidang media itu dibuat kerana isu melibatkan Sirul Azhar sangat kontroversi dan menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

“Ini (melibatkan) pengakuan Sirul yang (sebelum ini) mengakui bahawa dia melakukan perkara tersebut atas arahan pihak tertentu. Sehingga kini, dia masih belum lagi memaklumkan kepada semua (supaya) kita ketahui siapa yang beri arahan (itu).

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan Sirul, namun saya tidak mempengaruhi Sirul untuk melakukan pendedahan. Saya cuma katakan, ‘nyatakan daripada hati kamu sendiri’,” kata Mahfuz.

Sidang akhbar itu menjadi senyap sunyi apabila Mahfuz mula menghubungi Sirul. Begitupun, selepas beberapa percubaan yang gagal, suasana itu berganti resah keluhan dan sesekali berderaian gelak tawa apabila beberapa individu berjenaka mengenai Sirul yang tidak menerima panggilan tersebut.

PAS
Mahfuz menunjukkan komunikasi beliau dengan individu yang dipercayai Sirul melalui pesanan ringkas. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Namun, persidangan yang sepatutnya bermula pada jam 11.30 pagi itu terpaksa ditamatkan sejam kemudian setelah percubaan menghubungi Sirul berkali-kali tidak berjaya.

Sepanjang tempoh itu, Mahfuz diasak soalan daripada media berkaitan motif sidang akhbar, dan pengesahan integriti dan identiti individu yang beliau percaya sebagai Sirul tersebut.

Apabila ditanyakan mengenai logik Sirul mempunyai bebas berkomunikasi ketika dalam tahanan, Mahfuz memberitahu bahawa dia hanya menjadi tahanan Imigresen dan bukan polis maka dia mempunyai akses kepada Internet dan juga telefon bimbit.

"Sidang media ini sebagai peluang untuk Sirul menjelaskan motif pembunuhan. Kita mahu tahu apa yang berlaku," ujar beliau.

Mahfuz seterusnya ditanyakan soalan tentang pengesahan bahawa orang yang dihubunginya itu benar-benar Sirul Azhar.

“Susah saya nak beritahu macam mana saya tahu. Tapi saya yakinlah itu Sirul,” jawab Mahfuz yang mengalihkan topik mengenai rancangan beliau untuk ke Sydney.

Mahfuz memberitahu, pada Jumaat ini beliau akan mengumumkan tarikh untuk pihaknya membuat lawatan ke Australia bagi menemui Sirul.

Nama misi untuk bertemu Sirul yang bakal disertai keluarga terdekatnya itu juga akan diumumkan.

Sirul yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, portal Malay Mail Online melaporkan bahawa Sirul berjaya dihubungi Mahfuz ketika kebanyakan petugas media telah pulang.

Dalam panggilan telefon itu, Sirul dikatakan ‘tidak mahu mendedahkan sebarang maklumat kerana menghormati perlindungan Canberra’.

Bekas komando tentera itu juga dipetik sebagai berkata ‘akan mengeluarkan kenyataan apabila tiba masanya’.