Seorang anggota sukarelawan polis cedera selepas dirempuh seorang lelaki warga asing ketika Ops Selamat 13 di sebuah jalan di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar petang semalam.

Suspek berumur 35 tahun itu didakwa bertindak agresif apabila secara sengaja merempuh polis berpangkat Konstable itu dalam cubaan melarikan diri.

Ketika kejadian kira-kira jam 4 petang Rabu, suspek yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga, dikatakan memecut ke Jalan Gangsa sebelum merempuh mangsa.

Mangsa dilaporkan sedang menunggang motosikal menghala ke Jalan Putra semasa insiden tersebut.

Mangsa turut mengalami kecederaan patah di bahagian pergelangan tangan.

Susulan kejadian, suspek memberhentikan kenderaan di sebuah bangunan di Jalan Gangsa, lalu melarikan diri ke arah sebuah pasar raya berdekatan, namun berjaya diberkas.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui sekotak rokok, dua bungkusan plastik lutsinar dan keratan tiub penyedut minuman yang disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 3.88 gram.

Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek pula, polis menemui tiga plastik lutsinar pelbagai saiz yang disyaki berisi dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 327.1 gram yang disimpan di dalam kotak air minuman.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Pencegahan Trafik Kedah, Deputi Superintendan Hussin Zamora memaklumkan, hasil saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis morfin.

Tambahnya suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39(B), 15(1) Akta Dahah Berbahaya 1952, 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 307 Kanun Keseksaan.

Kenderaan suspek turut disita untuk pemeriksaan lanjut.