Dua individu dikenakan tindakan selepas didapati gagal mematuhi SOP kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing seperti yang ditetapkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, ia susulan pemeriksaan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa, ke atas 1,559 individu yang sedang menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

"Sejak 24 Julai, seramai 9,984 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 61 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor.

"Mereka telah pulang dari 31 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar dan Pakistan," katanya dalam kenyataan media pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, pada Rabu.

Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,200 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tambah beliau, akan sentiasa membuat
pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.