HUJUNG minggu ini jika anda mampu meluang sedikit masa, jengok-jengoklah Masjid Wilayah Kuala Lumpur untuk menyertai program Pesta Kanak-Kanak Islam atau Malaysia Islamic Children’s Fair (MICF 2019).

Mungkin sedikit awal kerana baru minggu kedua kanak kanak sekolah bercuti. Masuk minggu ketiga mungkin nanti timbul pelbagai keresahan apabila rasa bosan mula tiba akibat tiada perancangan yang rapi menghadapi cuti panjang.

Sebagaimana yang terkandung pada tajuk pesta hujung minggu ini, pendekatan dan penyelesaian cara Islam menjadi sandaran dalam kandungan yang akan diketengahkan untuk pertimbangan.

Penyediaan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai tempat dan lokasi penganjuran bertepatan dengan usaha untuk menjadikan masjid memainkan peranan bukan sekadar untuk ibadat tapi menjadi sebuah pusat pembangunan masyarakat menyeluruh.

Dua acara pengisian MICF menyasar golongan kanak kanak dan remaja mungkin mampu memberi manfaat kalangan ibu, ayah dan penjaga.

Pakar pendidikan awal kanak kanak terkenal Dr Bustam Kamri akan membuat kemunculan pada hari Sabtu. Bengkel bertajuk Dunia Kanak Kanak Tanpa Gaget dijangka cukup untuk menarik perhatian kalangan penjaga yang mungkin sudah puas mencari cara memisahkan kanak kanak dari berterusan beri tumpuan kepada telefon pintar masing masing.

Dr Bustam terkenal dengan usaha pembelajaran awal kanak kanak untuk menyediakan mereka dengan kecelikan ilmu dan praktik sebelum melangkah ke Pendidikan formal.

Ibu bapa atau penjaga sudah tentu dapat memanfaatkan sesi pembentangan dan bengkel Dr Bustam yang diharap dapat merungkai masalah pergantungan terhadap gajet kepada tahap membimbangkan sekarang ini.

Penytertaan bengkel memerlukan bayaran dan pendaftaran sebagaimana tertera di poster berikut.

Temui Dr Bustam Kamri sebelum gejala gajet tak terkawal menjadi jadi. - Facebook Masjid Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur

Pada sebelah petang, satu forum menarik membawa tajuk 'Kesihatan Mental Kanak Kanak – Realiti Dulu dan Sekarang' akan diadakan di pentas utama MICF.

Forum menangani isu kemurungan di awal pertumbuhan. - Facebook Masjid Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur

Kesemua empat ahli panel terdiri dari pakar psikiatri, aktivis kanak kanak, ahli NGO dan penggerak teater.

Mereka akan menggabung kepakaran masing masing membentang perancangan menyeluruh guna membentuk sahsiah kanak kanak dalam suasana persekitaran yang kian mencabar.

Bagi sesetengah penjaga, mungkin topik menyentuh isu kemurungan ini menimbulkan sedikit kerisauan tentang kesesuaiannya melibatkan kanak kanak.

Pada hari Ahad pula, seminar Latihan Kesaksamaan Bagi Golongan Kurang Upaya - (Disability Equality Training - DET) pula jadi tumpuan.

Penceramah jemputan Muhammad Firdaus Abu Hassan merupakan jurulatih bidang DET dari Universiti Malaya yang mempunyai kepakaran membuka peluang kepada golongan OKU – terutama kalangan kanak kanak dan remaja, untuk mendapat tempat dalam masyarakat.

Inilah peluangnya bagi mereka yang mempunyai sebarang keraguan untuk mendalami ilmu dan perlengkap diri.

Apa lagi, ini musim cuti, peluang tersedia, timbal ilmu, jangan leka.