Tutup

Gaji minimum: 95 peratus benefisiari adalah pekerja asing

Gaji minimum: 95 peratus benefisiari adalah pekerja asing
MEF mencadangkan agar definisi gaji minimum dipinda kepada gaji kasar agar ia menggalakkan pertumbuhan produktiviti. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Meningkatkan gaji minimum sebanyak RM100 dalam tempoh 12 bulan tidak akan menyelesaikan masalah kos sara hidup yang tinggi sebaliknya akan memburukkan lagi masalah dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Tan Sri Azman Shah Haron berkata langkah kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum akan memberi kesan terhad kepada ekonomi dan gaji minimum yang lebih tinggi akan memberi manfaat kepada pekerja asing.
"Malah lebih daripada 95 peratus benefisiari (penerima manfaat) adalah pekerja asing. Ini mempunyai kesan pengganda yang terhad kepada ekonomi kita kerana pekerja asing menghantar peratusan yang tinggi atas kenaikan upah, kepada negara asal mereka," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Azman Shah menarik perhatian bahawa beberapa cadangan telah dikemukakan oleh MEF kepada kerajaan seperti memberi subsidi 50 peratus kenaikan gaji minimum dan memperuntukkan RM250 kepada pekerja tempatan menerima bantuan seperti bayaran subsidi "BR1M" (sekarang BSH) bagi membantu rakyat menampung kenaikan sara hidup.
Beliau berkata subsidi seumpama itu kepada pekerja tempatan akan secara tidak langsung menjamin wang itu tidak dikirim keluar negara, hingga turunnya lagi nilai mata wang Malaysia.

"Kami ingin mencadangkan agar definisi gaji minimum dipinda kepada gaji kasar agar ini menggalakkan pertumbuhan produktiviti. Ketika ini gaji hanya didefinisi sebagai gaji pokok saja," kata beliau.

Pada 11 Okt semasa pembentangan Bajet 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencadangkan kenaikan gaji minimum di bandar-bandar besar kepada RM1,200 sebulan berkuat kuasa tahun depan dan kerajaan akan juga menyemak Akta Pekerjaan 1955 supaya relevan dengan keperluan semasa pasaran buruh.

Semakan itu antara lain akan mengkaji langkah menambah cuti bersalin dari 60 hari ke 90 hari berkuat kuasa pada 2021 dan meluluskan kelayakan untuk kerja lebih masa bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

-- BERNAMA