Kadar kenaikan gaji kasar negara ini perlu lebih tinggi berbanding kadar inflasi jika mahu menyelesaikan isu kos sara hidup.

Jelas pakar ekonomi bebas Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, walaupun sesetengah pekerja bakal menikmati kenaikan gaji namun lebih ramai yang tidak menikmati kenaikan atau kenaikan gaji mereka tidak setimpal dengan peningkatan kos sara hidup.

“Tidak ada banyak perubahan bagi bebanan yang ditanggung rakyat pada tahun 2018 kerana trend peningkatan harga minyak domestik dijangka akan terus memberi tekanan ke atas harga barangan dan perkhidmatan.

"Keadaan ini dibebani pula dengan kenaikan harga barang yang dijangka susulan peningkatan harga minyak," jelasnya kepada Astro AWANI.

Azrul menjangkakan kadar inflasi berada pada paras 3.9 peratus pada 2017 dan 3.4 peratus pada 2018.

Sementara pertumbuhan kadar gaji hanya meningkat 4 peratus, katanya yang merujuk kepada data yang dikongsikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ini bermakna kenaikan gaji tidak dapat meneutralkan kenaikan harga barang.”

Azrul turut meminta kerajaan untuk memikirkan cara menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat Malaysia serta memberikan peluang latihan semula selari dengan perubahan ekonomi.

“Walaupun kerajaan mensasarkan 300,000 peluang pekerjaan baharu akan wujud dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian pada tahun ini, persoalannya adakah pekerja berkenaan akan mempunyai kemahiran yang bersesuaian dengan tugasan berkenaan?”

“Adakah ia juga mencukupi untuk menyediaan peluang kepada semua bakal graduan?”

Laporan pada 2015 menyebut saban tahun sekitar 200,000 pelajar dijangka menamatkan pengajian masing-masing.