Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menggalakkan penganjuran sebarang program oleh mana-mana etnik di negeri ini, khususnya acara berbentuk penyatuan kaum.

Menterinya, merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata misalnya Karnival e-Padaidi Bugis Sabah yang diadakan selama tiga hari di daerah ini sejak Jumaat lalu, mampu mengeratkan perasaan kebersamaan sesama kita.

"Saya yakin, acara ini (Karnival e-Padaidi) selain dianjurkan Dewan Perniagaan Dan Industri Bugis Sabah serta badan bukan kerajaan (NGO) etnik Bugis Sabah, sudah tentu turut melibatkan etnik-etnik lain.

"Medium ini kan mengeratkan lagi perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negeri kita," katanya ketika berucap menyempurnakan penutupan Karnival e-Padaidi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya di Sabah sahaja terdapat lebih 30 etnik dan lebih 130 sub etnik dengan masing-masing etnik ini mempunyai keunikan yang tersendiri.

Menurutnya, apa juga provokasi yang bersifat perkauman perlu ditolak, kerana provokasi yang bertujuan melaga-lagakan kaum di Sabah akan memecahbelahkan perpaduan yang dibina selama ini.

"Malahan perpecahan ini tidak akan membantu menjana kegiatan ekonomi di negeri kita," katanya.

Sementara itu, Christina mahu masyarakat Bugis Sabah mengekalkan sikap rajin berusaha di samping terus menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memajukan Sabah.

"Seperti bumiputera dan kaum yang lain, Bugis Sabah juga adalah Bumiputera Sabah yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik di negeri Sabah," katanya.

-- BERNAMA