Hanya kerana tidak diberikan wang RM20 yang diminta, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membunuh bapanya dalam kejadian di Kampung Nyior Sebatang, Sungai Dua, Butterworth pada Selasa.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, suspek berusia 34 tahun itu berang selepas permintaannya tidak diendahkan bapa.

Suspek kemudian mengamuk dan mengacukan pisau ke arah bapanya yang berusia 74 tahun di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata suspek yang juga penagih dadah itu turut bertindak merosakkan barang di dalam rumah.

"Ketika kejadian, hanya suspek dan bapanya berada di rumah manakala ahli keluarga yang lain telah keluar bekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek yang juga penagih dadah itu turut bertindak merosakkan barang di dalam rumah.
Noorzainy berkata mangsa yang bimbang dengan keselamatan dirinya telah membuat laporan polis dan suspek ditahan pada hari sama untuk membantu siasatan.

Suspek dikesan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek direman hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.