Sejak 2016, penggunaan gandum di Malaysia telah melebihi penggunaan beras sebagai makanan asasi.

Penggunaan gandum pada 2016 adalah pada tahap 1.7 juta tan metrik berbanding beras pada kadar 1.6 juta tan metrik.

Walaubagaimanapun, memandangkan negara kita tidak sesuai untuk penanaman gandum, Malaysia terpaksa mengimport 100 peratus bekalan gandum dari luar negara.

"Jika gandum kini termasuk sebagai makanan asasi rakyat Malaysia, apakah akan terjadi jika komoditi ini tergugat dari segi harga atau bekalan dan apakah implikasi terhadap ‘Food Security’ Negara?" tanya Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal menerusi kenyataannya pada Jumaat.

Persoalan besar yang ditanyakan beliau ialah mengenai harga tepung yang didakwa bagai tiada kawalan.

"Kajian pihak kami menunjukkan bahawa harga gandum di pasaran dunia kian menurun untuk beberapa tahun kebelakangan ini namun mengapakah tiada penurunan harga tepung di negara kita?

"Kerisauan ini dilontarkan memandangkan peningkatan penggunaan gandum kini bakal memberi impak kepada golongan pekerja, pengguna dan rakyat Malaysia secara keseluruhan," katanya lagi.